Dakwaan pelajar sekolah hisap vape ‘magic mushroom’, Kelantan tunggu laporan penuh Jabatan Pendidikan negeri


  • Primer
  • Ahad, 14 Jul 2024

Terdapat beberapa pelajar di negeri Kelantan dikesan menghisap rokok elektronik yang cecairnya dicampurkan dadah sintetik dikenali sebagai 'magic mushroom'. — Gambar hiasan

KERAJAAN Kelantan sedang menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) berhubung dakwaan terdapat pelajar di negeri berkenaan dikesan menghisap rokok elektronik (vape) yang cecairnya dicampurkan dadah sintetik dikenali sebagai 'magic mushroom'.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan JPN pada minggu lalu mengenai isu berkenaan, termasuk untuk mengenal pasti jumlah pelajar terbabit sekiranya ada dan cara mengatasi permasalahan itu.

Tambahnya lagi, pihaknya turut meminta pengurusan Yayasan Islam Kelantan (YIK) untuk mengumpul data dan mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu, sekali gus berharap tiada pelajar yang terjebak sehingga merosakkan masa depan mereka.

BACA LAGI: Angkara terlalu lapar, remaja berbuih mulut termakan biskut dicampur racun di Kemaman

BACA LAGI: Warga emas maut terlanggar lori parkir dekat bahu jalan di Lahad Datu

Kerajaan Kelantan

Mohamed Fadzli berkata, pihaknya akan membincangkan perkara berkenaan dengan jawatankuasa khas kerajaan Kelantan. The Star

"Magic mushroom benda baharu, kadang-kadang pelajar tidak tahu ia bahan terlarang dan ibu bapa juga tidak boleh kesan dengan kewujudan vape ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2023 di Dewan Besar YIK, Bandar Baru Tunjung, Kota Bharu, Kelantan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli berkata, untuk menangani kegiatan berkenaan, pihaknya juga akan membincangkan perkara berkenaan dengan jawatankuasa khas kerajaan Kelantan.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan mengenai kajian yang dilaksanakan Hospital Universiti Sains Malaysia terhadap 152 pelajar di Kelantan.

Saifuddin Nasution berkata, hasil kajian mendapati 65 peratus pelajar berkenaan dikesan terlibat menghisap rokok elektronik yang dicampur bahan dikenali sebagai 'magic mushroom', yang kesannya lebih menggerunkan daripada dadah jenis methamphetamine dan syabu.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Fadzli berkata, kerajaan Kelantan telah memperuntukkan lebih RM8 juta membabitkan 16,388 pelajar menerusi Insentif Anugerah Kerajaan Kelantan sejak 2006.

"Setiap pelajar yang cemerlang menerusi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan juga Sijil Menengah Ugama (SMU) layak menerima sumbangan wang tunai bernilai RM500.

"Insentif ini bukan terhad kepada anak Kelantan sahaja, tetapi ia juga layak kepada anak Kelantan yang belajar di luar negeri ini. Kita harap dengan adanya insentif ini ia dapat memberi semangat untuk mereka terus kekal cemerlang,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram