'Banyak lagi perkara akan diperbaiki', TMJ syukur kadar miskin tegar di Johor menurun


  • Primer
  • Sabtu, 15 Jun 2024

TMJ meluahkan rasa sykurnya terhadap penurunan kadar kemiskinan tegar di Johor.

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menzahirkan rasa syukurnya selepas menerima perkhabaran tentang penurunan kadar kemiskinan tegar di Johor.

Beliau yang sinonim dengan panggilan TMJ berkata, terdapat beberapa perkara yang akan ditambah baik meskipun jumlah miskin tegar di negeri tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 92 peratus antara Mac 2023 sehingga awal Jun ini.

"Alhamdulillah. Banyak lagi perkara seperti peluang pekerjaan, program pendidikan, dan infrastruktur negeri kami akan perbaiki. Muafakat itu berkat," tulis TMJ menerusi hantarannya di Twitter (X) pada Sabtu.

BACA LAGI: Kecewa tersingkir penentuan penalti, isu gaji lemahkan mental mana-mana pemain termasuk Sri Pahang

BACA LAGI: Tindakan Johor mohon hasil 30 peratus, buka ruang negeri lain turut menuntut sama

448277598_980558040736415_6557887769761354608_n

Datuk Onn Hafiz Ghazi. — Facebook/Onn Hafiz

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan bahawa Johor berjaya menurunkan jumlah keluarga miskin tegar daripada 4,378 Ketua Isi Rumah (KIR) kepada hanya 359 KIR dalam tempoh berkenaan.

Onn Hafiz berkata, pelbagai inisiatif yang sudah dilaksanakan kerajaan negeri dan Persekutuan bagi mencapai matlamat menyifarkan kadar miskin tegar di Johor.

"Antara inisiatif itu termasuk Program Keluarga Angkat, Dapur Kasih Johor, yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah, bantuan baik pulih rumah, bantuan peralatan, latihan dan pendidikan.

"Tahniah dan syabas saya ucapkan atas segala usaha dan gerak kerja yang dilakukan oleh semua Ahli Dewan Negeri (ADUN) Johor; Pejabat-Pejabat Daerah; Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ); Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); Ahli-Ahli Majlis; Ketua-Ketua Kampung; Penghulu dan semua agensi yang terbabit.

"Insya-ALLAH Johor akan terus berusaha untuk membantu mereka yang memerlukan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Selari dengan matlamat beliau, sejumlah RM657 juta diperuntukkan kerajaan demi memperkasa dan membantu golongan memerlukan di negeri itu pada 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram