[VIDEO] BMX Faisal Hussein dapat nafas baharu, imbau nostalgia Bujang Selamat tayang basikal 'lejen'


  • Hiburan
  • Sabtu, 13 Jul 2024

Faizal teruja apabila basikal BMX model Kuwahara Laserlite 82 yang digunakan dalam filem Bujang Selamat kira-kira 36 tahun lalu sudah boleh digunakan kembali.

NAMA pelakon, Faizal Hussein menjadi sensasi pada era 80-an menerusi pelbagai drama dan filem yang dibintangi antaranya Gila-Gila Remaja, Azura, XX Ray dan Kanta Serigala.

Meskipun sudah mencecah 57 tahun, Faizal terus mewarnai dunia perfileman tanah air dengan lakonan berkesan menerusi watak dalam drama dan filem yang lebih matang seperti Bunohan, Longkai, Tombiruo: Penunggu Rimba dan Geran hingga menjadikannya sebagai aktor sepanjang zaman.

Mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan sewaktu berusia 18 tahun, Faizal Hussien mungkin paling diingati menerusi filem Bujang Selamat yang pernah menjadi perhatian ramai.

BACA LAGI: '14 tahun pertama jadi cabaran hebat rumah tangga', ramai simpati hubungan Dr Jezamine-Harith Iskander

BACA LAGI: 'Gentle jumpa peguam saya', pelakon Sinetron harap suami segera pulangkan barang kemas ribuan ringgit

Manakan tidak, Faizal sewaktu itu memegang watak utama sebagai Bujang Selamat.

Antara yang paling diingati peminat adalah apabila Faizal lincah mengendalikan basikal jenis BMX Kuwahara Laserlite 82 sambil meronda di tengah-tengah kawasan perkampungan yang menjadi lokasi penggambaran.

Meskipun filem itu ditayangkan pada 1985, namun basikal 'lejen' yang digunakan dalam filem tersebut kini sudah mencecah ribuan ringgit nilainya.

Perkara itu dibuktikan apabila Faizal yang dikenali memiliki karisma tinggi itu mendedahkan bahawa harga basikalnya kini bernilai RM18,000.

Menerusi hantaran di Instagram, Faizal meluahkan rasa gembiranya apabila basikal yang digunakan dalam filem berkenaan sudah siap direstorasi oleh seorang pengumpul basikal BMX.

"Semalam aku dapat balik Kuwahara Laserlite 82 aku yang aku pakai masa cerita Bujang Selamat daripada Amin dan Firdaus. Terima kasih kawan!! Impian saya nak guna basikal ini semula jadi kenyataan," kata Faizal.

WhatsApp Image 2024-07-12 at 1.03.59 PM

Faizal Hussein lincah mengendalikan basikal BMX model Kuwahara Laserlite 82.

Basikal itu sebelum ini dibeli bapanya iaitu pelakon dan pengarah filem legenda, Allahyarham Hussein Abu Hassan ketika dia berusia 17 tahun sewaktu nilainya hanya RM480.

Menerusi laman YouTube, seorang peminat BMX, Roda-Roda BMX memuat naik rakaman Faizal Hussein menunggang basikal Kuwahara Laserlite 82 sewaktu dalam filem Bujang Selamat.

Rakaman berkenaan membuatkan ramai peminat filem 80-an terpegun sehingga ada yang mendedahkan bahawa dia sangat mengidolakan Faizal sewaktu masih kecil.

"Rasa nak menangis bila tengok rakaman ini. Masa kanak-kanak 80-an dahulu teringat dan terasa nak jadi macam Faizal Hussein ada basikal BMX dan fesyen tersendiri. Tapi arwah abah ada belikan basikal untuk anak-anak yang lebih kurang rupa BMX. Memang sayang betul dengan basikal itu. Zaman 80-an kalau boleh undur masa," tulis Misterlibrarian5251.

Tidak hanya itu, seorang pengguna, Kaizer berasa penampilan yang digayakan oleh Faizal sangat memukau.

"Memang style lah kalau Faizal ini. Barang-barang dia menjadi idola. Sama ada basikal, motosikal dan baju. Sampai sekarang lagi," katanya.

Untuk rekod, dalam filem berkenaan, Faizal memainkan peranan sebagai seorang anak kampung yang sering diganggu oleh budak nakal.

Bujang Selamat berkecil hati kerana sering diperli dan diketawakan budak kampung yang lain sehingga memutuskan untuk berguru dengan seorang guru silat bagi mempelajari pelbagai teknik silat.

Selain filem itu, Faizal juga pernah membintangi filem Gila-Gila Remaja (1986); Bayangan Maut dan Kanta Serigala (1991); XX Ray (1992); Leftenan Adnan (2000); KL Menjerit dan Gerak Khas The Movie II (2002); Bunohan (2012); Longkai (2013); Manisnya Cinta Di Cappadoccia (2014) dan Dukun (2018). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram