SEPERTI yang diketahui, Kerajaan ketika ini dalam proses melaksanakan penyasaran semula subsidi bahan api diesel yang dijangka mula dilaksanakan tidak lama lagi.
Dengan pelaksanaan langkah tersebut, harga diesel diramal meningkat mengikut harga pasaran berbanding kadar jualan semasa di dalam negara yang ketika ini dikawal pada harga RM2.15 bagi setiap liter.
Seiring dengan langkah itu, Kerajaan turut mengumumkan pengenalan Program Bantuan Subsidi Madani atau Budi Madani berupa bantuan tunai bulanan berjumlah RM200 bagi rakyat yang layak.
BACA LAGI: Sejuta 'fleet card' disediakan sebelum pelaksanaan kawalan subsidi diesel — Menteri
BACA LAGI: Subsidi diesel bersasar: Harga barang tak patut naik — Amir Hamzah
Program Budi Madani merangkumi tiga elemen baharu meliputi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0, Petani dan Pekebun Kecil di bawah Agri-Komoditi dan Individu.
Kumpulan penerima manfaat di bawah inisiatif tersebut meliputi pemilik kenderaan persendirian individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, seramai kira-kira 300,000 pemilik kenderaan diesel individu dijangka menikmati bantuan tersebut bermula pertengahan Jun ini.
Ia merangkumi sejumlah 700,000 kenderaan diesel termasuk 400,000 kenderaan komersial mendapat Budi Madani yang meliputi 50 peratus kenderaan diesel aktif di Semenanjung Malaysia.
Bagi Mohd Fazli Abdul Manaf, 49, dia secara umumnya bersetuju dengan tindakan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi bersasar bagi bahan api diesel.
Ujarnya, tindakan itu bukan sahaja boleh menangani isu penyeludupan bahan api, malah secara langsung membantu menjimatkan hasil wang rakyat untuk digunakan bagi perkara yang lebih bermanfaat.
Mohd Fazli
Sebagai individu yang sudah menggunakan kenderaan diesel sejak 15 tahun lalu, Mohd Fazli yang juga bertugas sebagai guru turut menyambut baik inisiatif kerajaan memperkenalkan Budi Madani yang menyediakan bantuan tunai sebanyak RM200 kepada pemilik kenderaan diesel persendirian.
Katanya, jumlah diperuntukkan itu disifatkan mencukupi khususnya dalam membantu pengguna kenderaan yang berisiko dan terkesan ekoran kenaikan yang berlaku selepas pelaksanaan penyasaran subsidi tersebut.
"Saya secara peribadi sebagai pengguna yang tidak menggunakan terlalu banyak diesel, bagi saya jumlah RM200 itu sangat berbaloi. Tambahan pula saya bukan guna kenderaan diesel secara harian.
"Cuma akan gunakan kenderaan berdiesel bagi perjalanan tertentu contohnya jika hendak pulang ke kampung untuk pergi kebun dan angkat barang untuk keperluan sendiri," ujarnya yang tinggal di Sepang, Selangor.
Infografik kelayakan penerima bantuan tunai bulanan Budi Individu.
Dalam pada itu, Mohd Fazli berkata, dia tidak menyangka proses pendaftaran bagi Budi Madani itu dapat dilakukan dengan sangat mudah tanpa memerlukan masa sehingga berhari-hari.
Dia juga memaklumkan, proses kelulusan bagi inisiatif Budi Madani itu selesai pada hari sama dia mendaftar.
"Saya memang tak sangka. Bagi saya memang sangat mudah. Buka sahaja laman web Budi Madani, lepas dah daftar, semua maklumat penting seperti e-mel, maklumat kenderaan pun dah ada.
"Jadi tinggal masuk nombor telefon, akaun bank dan tarikh tamat cukai jalan. Kemudian saya nyatakan pilihan bahawa kenderaan ini adalah untuk kegunaan peribadi. Lepas hantar permohonan, terus lulus," ujarnya.
Pemilik kenderaan diesel individu dijangka menikmati bantuan tersebut bermula pertengahan Jun ini.
Dalam pada itu, bagi kontraktor kecil, Mohd Mahdi Iqbal, 28, dia menggunakan trak pikap berdiesel sebagai kenderaan kedua dalam operasi perniagaannya di samping kenderaan utama iaitu van yang menggunakan bahan api petrol.
Menurutnya, pada waktu ini, dia hanya memandu trak pikap terbabit sekiranya van utama yang digunakan bagi mengangkut peralatan termasuk alat pendingin hawa terbabit penuh dan memerlukan kenderaan sokongan untuk membawa barangan tambahan.
Disebabkan itu, dia yang menawarkan perkhidmatan pemasangan pendingin hawa di sekitar Melaka berkata, bantuan tunai bulanan RM200 di bawah inisiatif Madani itu disifatkan bukan sahaja membantu menampung perbelanjaan bulanan pengangkutannya, malahan turut menjimatkan keseluruhan kos sara hidupnya.
Mohd Mahdi
"Sekarang ini dengan harga diesel bagi setiap liter adalah RM2.15, setiap bulan saya belanja diesel sebanyak RM200 iaitu bersamaan dengan 93 liter (L).
Tapi kalau harga diesel meningkat kepada RM3.10 bagi setiap liter, untuk dapatkan 93 liter, dianggarkan saya perlu belanja sebanyak kira-kira RM289 bagi tempoh sebulan.
"Jadi bila kerajaan peruntukan RM200 untuk setiap bulan, ini bermakna saya hanya perlu belanja kira-kira RM89 berbanding RM200 untuk tempoh sebelum penyasaran," ujarnya.
Bagaimanapun, Mohd Mahdi berkata, situasi berbeza berkemungkinan berlaku terhadap peniaga kecil yang menjadikan kenderaan berdiesel sebagai pengangkutan utama mereka.
Infografik empat langkah mudah memohon Budi Madani Individu.
Dalam perkembangan sama, Allan Goh, 51, turut berpendapat bantuan tunai RM200 yang dilaksanakan di bawah Budi Individu itu dapat memberikan penjimatan kepada penggunaan bahan api tersebut.
Menurutnya, dia akan membelanjakan RM300 hingga RM400 sebulan atau kira-kira 140L hingga 186L sebulan untuk kegunaan peribadi bagi kenderaan jenis trak pikap jenis Toyota Hilux miliknya.
Walaupun mengakui bantuan tersebut tidak mencukupi buat kegunaannya, namun Allan berpendapat ia sebenarnya sudah memadai bagi sebahagian besar penerima yang layak.
“Bagi saya, apa yang penting ialah diesel negara kita tidak mengalir keluar akibat kegiatan penyeludupan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Malah, saya berharap kerajaan dapat melaksanakan mekanisme yang serupa untuk petrol RON95 dan minyak paket agar subsidi kepada rakyat negara ini tidak disalahgunakan warga asing,” katanya.
Allan Goh
Usahawan sabun dari Bukit Minyak, Pulau Pinang itu juga menasihatkan pemilik kenderaan trak pikap dan pacuan empat roda supaya tidak menjual kenderaan masing-masing kerana khuatir harga diesel naik.
“Ada dengar segelintir pemilik 4X4 mahu jual kereta kerana takut tak mampu bayar diesel. Sebaiknya, saya sarankan mereka daftar Budi Madani.
“Pendaftaran di laman web senang dibuat. Boleh rujuk aplikasi MyJPJ untuk butiran mengenai model kenderaan dan cukai kereta.
“Selebihnya ialah isi nombor MyKad dan plat kenderaan dan kelulusan diperoleh pada hari sama,” ujarnya.
Ketiga-tiga penerima tersebut memperoleh bantuan tunai RM200 di bawah inisiatif Budi Individu.
Untuk makluman, permohonan Budi Madani telah dibuka mulai 28 Mei 2024 dan orang ramai boleh memohon di budimadani.gov.my. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram