Malaysia sumbang lagi RM4.7 juta bantu pelarian Palestin


  • Primer
  • Sabtu, 13 Jul 2024

Malaysia bertekad menyokong UNRWA dan bersedia bekerjasama rapat dengan PBB dan pemegang taruh lain untuk memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan secara berterusan kepada rakyat Palestin. — Agensi

KERAJAAN Malaysia mengumumkan sumbangan tambahan berjumlah AS$1 juta (RM4.7 juta) kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri berkata, sumbangan itu adalah bersifat sekali sahaja dan sudah diumumkan semasa Persidangan Pemberian Sumbangan UNRWA yang diadakan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat.

BACA LAGI: Protes keluar Dewan ketika persidangan Parlimen budaya politik tak sihat

BACA LAGI: Enam MP bekas ahli BERSATU jadi wakil rakyat Bebas, kedudukan dalam Dewan Rakyat ditentukan Speaker

"Dengan sumbangan terbaharu ini, jumlah keseluruhan bantuan Malaysia kepada UNRWA adalah sebanyak USD5.2 juta (RM24.3 juta) sejak November 2023.

"Jumlah ini adalah tambahan kepada komitmen negara untuk menyumbangkan AS$200,000 (RM934,103) setiap tahun dari 2021 hingga 2025," menurut kenyataan itu.

th (1)

Wisma Putra berkata, sumbangan tambahan itu adalah bersifat sekali sahaja.

Wisma Putra berkata, melalui Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP), Malaysia juga menyumbang kepada pelbagai inisiatif kemanusiaan termasuk pemberian bantuan perubatan, bantuan makanan, pengurusan sanitasi dan kebersihan air, penyaluran bekalan air bersih serta peningkatan kemudahan perubatan untuk rakyat Palestin.

Sehingga 28 Jun 2024, Kerajaan Malaysia telah menerima sumbangan berjumlah RM98,828,028.83.

Daripada jumlah tersebut, RM34,992,378.10 telah disalurkan kepada pelbagai pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil, badan-badan bukan kerajaan dan organisasi-organisasi antarabangsa seperti PBB.

"Malaysia bertekad menyokong UNRWA dan bersedia bekerjasama rapat dengan PBB dan pemegang taruh lain untuk memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan secara berterusan kepada rakyat Palestin," ujar kenyataan itu lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram