[VIDEO] Detik gembira di hospital Gaza sebelum dibedil kejam Israel


  • Benua
  • Rabu, 18 Okt 2023

Orang ramai melihat mayat mangsa terkorban dalam serangan udara Israel ke atas Hospital Arab al-Ahli di tengah Gaza yang dibawa ke Hospital Shifa, Gaza pada Selasa. — Agensi

SERANGAN bom dilakukan Israel ke atas sebuah hospital di tengah-tengah Gaza, Palestin pada Selasa mengorbankan seramai kira-kira 500 orang termasuk pesakit dan pelarian yang berlindung di pusat kesihatan tersebut.

Angka berkenaan sekiranya disahkan bakal menjadi antara jumlah kematian tertinggi pernah direkodkan untuk insiden serangan oleh rejim Israel terhadap satu-satu sasaran bagi tempoh sejak 2008.

Serangan ke atas Hospital Arab al-Ahli itu turut mencetuskan kecaman antarabangsa dengan beberapa video impak serangan tersebut tular serta dilaporkan berita dan media sosial seluruh dunia.

“Ini adalah keterlaluan dan sekali lagi ia menunjukkan betapa mereka tidak menghiraukan nyawa orang awam,” kata Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA) di media sosial.

Sementara itu, Raja Jordan Abdullah II, menyifatkan serangan itu sebagai satu insiden "pembunuhan beramai-ramai" dan "perbuatan memalukan untuk kemanusiaan".

WhatsApp Image 2023-10-18 at 11.23.10 AM (1)

Ramai yang cedera dalam serangan tersebut adalah mangsa wanita dan kanak-kanak. — Agensi

Kementerian Kesihatan Gaza dalam satu kenyataan menjelaskan hospital itu memainkan penting dalam menawarkan perlindungan kepada orang awam.

“Hospital itu menempatkan ratusan orang yang sakit dan cedera, dan orang ramai dipindahkan secara paksa dari rumah mereka,” kata kementerian itu.

Dalam pada itu, turut tular satu video memaparkan aktiviti riadah yang dilakukan oleh sekumpulan kanak-kanak di hospital berkenaan kira-kira sehari sebelum serangan tersebut.

Menerusi klip berdurasi satu minit lima saat itu, kumpulan tersebut dilihat bermain dengan ceria sambil disertai oleh beberapa individu dipercayai pekerja di pusat kesihatan tersebut.

Puluhan ribu keluarga dilaporkan mencari perlindungan di hospital sekitar Gaza selepas kawasan kediaman mereka menjadi sasaran serangan bom tentera Israel yang ketika ini masih berterusan.

Rakaman diperolehi Al Jazeera dari tempat kejadian menunjukkan pasukan perubatan dan dan orang awam membantu mencari mangsa terkorban dan memasukkannya ke dalam beg mayat atau selimut putih.

Percikan darah beberapa kereta yang terbakar akibat impak serangan tersebut turut kelihatan di halaman hospital yang berada dalam keadaan gelap.

Pemimpin parti politik Inisiatif Nasional Palestin (PNI), Mustafa Barghouti, memberitahu Al Jazeera bahawa serangan hospital itu seharusnya mendorong pemimpin dunia mempersoalkan sokongan mereka terhadap Israel.

"Tiada sesiapa pun di dunia yang menyerang hospital di mana-mana negara lain di dunia.

“Adakah mereka akan mengutuk pembunuhan beramai-ramai Israel ini? Adakah mereka akan mengutuk kelakuan Israel ini? Mereka tahu mereka boleh menghalang Israel.

Mereka tahu mereka boleh menghalang Israel. Merekalah yang memberi senjata dan wang serta sokongan kepada penceroboh Israel ini," kata Barghouti.

Dia menambah bahawa kemudahan infrastruktur awam dilihat seperti sengaja disasarkan dalam serangan dilakukan rejim Israel.

Setakat ini, dianggarkan kira-kira 3,000 orang terbunuh dalam serangan udara Israel di seluruh Semenanjung Gaza sejak bermula pertempuran pada 7 Oktober lalu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram