[VIDEO] Israel terus mengganas di Gaza, serangan roket dan bom cemari Syawal


  • Benua
  • Sabtu, 13 Mei 2023

Tangkap layar serangan roket tentera Israel yang menghancurkan beberapa kediaman di Gaza.

SEKURANG-kurangnya dua rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dan beberapa lagi cedera pada hari keempat berturut-turut pengeboman Israel di Semenanjung Gaza, kata pegawai perubatan Palestin.

Salah seorang yang terbunuh dalam serbuan udara ke atas sebuah kondominium pada Jumaat adalah seorang pemimpin kanan kumpulan Jihad Islam Palestin (PIJ).

Kejadian itu menjadikan jumlah keseluruhan rakyat Palestin yang terbunuh dalam pengeboman minggu ini kepada sekurang-kurangnya 33, termasuk beberapa kanak-kanak dengan lebih 110 turut cedera.

Beratus-ratus roket juga telah dilancarkan dari Semenanjung ke arah Israel, dengan seorang lelaki berusia 70 tahun terbunuh di tengah Israel.

Serangan terbaharu itu menyasarkan bangunan enam tingkat di kawasan kejiranan al-Nasr yang padat dengan bilangan penduduk.

Israel mensasarkan sebuah kediaman yang memusnahkan sekurang-kurangnya bangunan tiga tingkat.

Salameh Maarouf, ketua pejabat penerangan kerajaan Gaza berkata, penduduk di kawasan itu sangat terkejut dengan pengeboman tersebut.

"Masyarakat di seluruh dunia menutup mata terhadap nasib kami,” katanya kepada pemberita di Gaza.

Maarouf berkata, sekurang-kurangnya 139 bangunan dilaporkan telah musnah sepenuhnya setakat ini, manakala lebih 500 telah rosak sebahagiannya.

Seorang penduduk Gaza menggambarkan saat peluru berpandu Israel mengenai rumahnya.

"Saya tinggal dengan aman di rumah ketika kejadian dan kami menerima arahan untuk diminta berpindah walaupun tidak tahu apa yang sedang berlaku," katanya.

“Saya, isteri, cucu dan anak bergegas keluar rumah meninggalkan segala-galanya. Saya hampir tidak sempat menutup kepala dengan selendang,” katanya.

Pengebumian juga terus diadakan untuk rakyat Palestin yang telah terbunuh dalam serangan terbaru Israel.

bomm

Penduduk di kawasan kediaman dekat Gaza ketika berhadapan serangan roket Israel. — Agensi

Issam Adwan dari Al Jazeera, melaporkan dari Gaza berkata, pada dasarnya setiap bandar di sana telah menjadi sasaran serangan udara Israel pada hari Jumaat.

"Dalam beberapa jam terkini, kami telah menyaksikan beberapa serangan udara Israel di kawasan bandar dekat seluruh Semenanjung Gaza," kata Adwan.

"Israel menyasarkan bangunan kediaman bersebelahan hospital al-Aqsa di kem pelarian Deir El Balah, yang mengalami kerosakan teruk di beberapa jabatan hospital,” kata Adwan.

Serangan itu menyebabkan pesakit, termasuk wanita dan kanak-kanak mengalami serangan panik, tambahnya.

Sementara itu, pegawai Jihad Islam dan Hamas telah menjalankan operasi 'perpaduan penentangan' dalam bertindak balas terhadap serangan Israel, katanya.

Jennifer Austin, pengarah operasi di pejabat lapangan Gaza untuk agensi pelarian PBB (UNRWA), berkata, situasi ketika ini semakin teruk.

“Ia adalah situasi yang sangat teruk dalam 15 tahun sepanjang sekatan ekonomi dan sosial diadakan,” katanya.

Walaupun berhadapan dengan serangan bom setiap hari, UNRWA masih meneruskan program pengagihan makanan serta sanitasi di kem, kata Austin.

Terdahulu, rakyat Palestin meninjau serpihan yang disebabkan oleh serangan Israel.

“Impian yang kami bina untuk anak-anak kami, telah berakhir,” kata Belal Bashir, seorang warga Palestin yang tinggal di Deir al-Balah di tengah Gaza susulan rumah keluarganya yang menjadi timbunan runtuhan dalam serangan udara pada Khamis.

"Situasi kami adalah sama seperti mana-mana rakyat Palestin yang rumahnya menjadi sasaran dan impian yang dibina selama bertahun-tahun, musnah sekelip mata," katanya.

Dia dan keluarganya akan terbunuh dalam letupan itu jika mereka tidak berlari keluar sebaik terdengar jeritan, katanya.

"Kami terkejut rumah kami menjadi sasaran," kata Bashir, sambil menarik anak patung dan selimut anak-anaknya dari kawah bom.

matii

Seorang lelaki diusung berikutan serangan Israel yang membunuh seorang komander kanan Jihad Islam di sebuah kediaman. — Agensi

Sementara itu, Willem Marx dari Al Jazeera, melaporkan dari Ashkelon di Israel, siren berbunyi di seluruh kawasan sebagai amaran kepada penduduk tentang kebakaran yang akan datang.

"Kira-kira dua dozen roket ditembak dari Gaza, yang merupakan antara 800 serangan yang dilancarkan minggu ini," kata Marx pada Jumaat.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bertemu pegawai tentera dan perisikan pada awal Jumaat.

"Situasi ini menunjukkan bagaimana tentera Israel akan meneruskan tindakan dalam beberapa jam akan datang," kata Marx.

Dalam pada itu, Mesir, Qatar dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah berusaha untuk menjadi perantara gencatan senjata dalam serangan tersebut.

Pegawai Hamas memberitahu media tempatan pada Jumaat bahawa Mesir sedang meningkatkan usaha diplomatiknya untuk menghentikan pertempuran melalui 'hubungan intensif' dengan Hamas dan Jihad Islam.

Tokoh-tokoh Jihad Islam telah menghantar isyarat mengenai perbincangan tersebut.

Pegawai kanan, Ihasan Attaya berkata bahawa pengantara "tidak dapat memberi kami sebarang jaminan". Satu perkara yang penting ialah tuntutan Jihad Islam supaya Israel menghentikan dasar pembunuhan bersasar, kata Attaya.

Pertempuran minggu ini bermula pada Selasa apabila Israel melancarkan serangan udara serentak yang membunuh tiga komander Jihad Islam bersama sekurang-kurangnya 10 orang awam.

Israel berkata, ia bertindak balas terhadap serangan roket yang dilancarkan minggu lalu oleh Jihad Islam selepas kematian salah seorang anggota di Tebing Barat, Khader Adnan, akibat mogok lapar semasa dalam tahanan Israel. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram