Kemasukan matrikulasi: PAGE cadang syarat kemasukan dinaikkan, kuota ditambah baik ikut populasi kaum


  • Massa
  • Sabtu, 13 Jul 2024

Kerajaan sebelum ini memberi jaminan bahawa semua pelajar cemerlang yang mendapat 10A dan ke atas dalam SPM akan mendapat tempat ke program matrikulasi tanpa mengira kaum dan latar belakang. — Gambar hiasan

PERSATUAN Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) mencadangkan supaya syarat kemasukan ke program matrikulasi ditingkatkan lagi bagi menarik lebih ramai pelajar terbaik negara di bawah program berkenaan.

Pengerusinya, Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, kuota kemasukan ke program terbabit turut dicadangkan untuk ditambah baik agar ia dilaksanakan mengikut populasi rakyat Malaysia yang pelbagai kaum.

BACA LAGI: Protes keluar Dewan ketika persidangan Parlimen budaya politik tak sihat

BACA LAGI: Enam MP bekas ahli BERSATU jadi wakil rakyat Bebas, kedudukan dalam Dewan Rakyat ditentukan Speaker

"Ini adalah waktu yang tepat agar syarat kemasukan ke matrikulasi dinaikkan bagi menarik pelajar terbaik. Kuota digunakan sebaliknya harus mencerminkan populasi rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

"Kuota 90 peratus untuk bumiputera terlalu tinggi. Ini adalah masa yang sesuai untuk menghalang kehilangan mereka yang berkemahiran tinggi atau brain drain," katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai langkah terbaharu kerajaan berhubung kemasukan ke program matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pada 30 Jun lalu, kerajaan mengumumkan semua pelajar cemerlang yang mendapat 10A dan ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan mendapat jaminan mendapat tempat ke program matrikulasi tanpa mengira kaum dan latar belakang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat bertujuan bagi memastikan semua pelajar cemerlang tanpa mengira kaum diberi peluang sama adil dalam mendapat pendidikan lebih tinggi.

2787486

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Pada ketika ini, kuota kemasukan ke matrikulasi yang ditetapkan bagi 90 peratus pelajar bumiputera dan 10 peratus (bukan bumiputera).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada Khamis memaklumkan seramai 400 lagi pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh 10A akan mendaftar Program Matrikulasi pada minggu ini.

Katanya, jumlah itu termasuk 367 pelajar bukan Bumiputera.

Beliau turut memberi jaminan isu keciciran pelajar cemerlang SPM yang belum ditawarkan kemasukan ke program matrikulasi akan diselesaikan selewat-lewatnya minggu ketiga Ogos.

Tambah Fadhlina, terdapat seramai 712 pelajar lagi yang masih belum mendapat tawaran.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan jumlah keseluruhan pelajar cemerlang 10A SPM memohon ke Program Matrikulasi adalah seramai 4,877 orang termasuk 2,610 pelajar Bumiputera.

Mengulas lanjut, Noor Azimah berkata, setiap pelajar yang mendapat keputusan cemerlang sememangnya patut menerima tawaran ke program berkenaan.

"Perdana Menteri dalam memutuskan semua pelajar yang mencapai 10A akan diberi tawaran matrikulasi, secara tidak langsungnya mendedahkan betapa tidak adil sistem pengagihannya sebelum ini.

"Proses (penetapan kuota) ini terus akan berlaku jika pelajar dan ibu bapa mereka tidak menyuarakan hasrat harapan mereka," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram