Mahu kekal berkhidmat di Perak, Faizal Azumu umum tidak bertanding mana-mana kerusi 6 PRN


  • Politik
  • Ahad, 04 Jun 2023

Ahmad Faizal baharu sahaja dilantik sebagai Pengerusi Bersatu serta Pengerusi PN Negeri Sembilan.

TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan tidak akan bertanding mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Meskipun baharu sahaja dilantik sebagai Pengerusi Bersatu serta Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, beliau berkata, ia bukanlah satu tiket dan tugasnya adalah membantu melicinkan perjalanan jentera parti menjelang PRN.

"Saya buat pengumuman hari ini (Ahad) walaupun saya dilantik memegang jawatankuasa ini untuk melicinkan jentera pilihan raya, saya buat pengakuan tidak akan bertanding termasuk di Negeri Sembilan. Ini kerana saya berasal dari Perak dan berhasrat memberi khidmat di tempat sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Pimpinan Bersatu negeri dan Badan Perhubungan PN negeri yang pertama di Seremban, Negeri Sembilan pada Ahad selepas mengambil alih jawatan berkenaan daripada bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Syith.

Mengenai pembahagian kerusi Bersatu di Negeri Sembilan, Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerusi mewakili Bersatu berkata, ia telah selesai dilaksanakan dan sedang menunggu saringan oleh pucuk pimpinan tertinggi yang akan diputuskan kemudian.

Selain Negeri Sembilan, negeri yang akan mengadakan PRN ialah Selangor, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Pulau Pinang. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram