Disyaki ikuti ajaran sesat Millah Abraham, 3 sekeluarga ditahan di Seremban


  • 112
  • Khamis, 11 Jul 2024

Tiga beranak ditahan kerana disyaki mengikuti ajaran sesat Millah Abraham. — Agensi

TIGA beranak ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) pada Rabu selepas disyaki mengikuti ajaran sesat Millah Abraham.

Keluarga tersebut merupakan pasangan suami isteri berusia dalam lingkungan 40-an berserta anak lelaki berumur 16 tahun.

Mereka bertiga ditahan di dua lokasi berasingan. Pasangan suami isteri tersebut ditahan di rumah sewa mereka dekat Felda Sungai Kelamah, Tampin sementara anaknya Felda Palong 3, Jempol.

BACA LAGI: Pengusaha tempe mengaku Imam Mahdi antara 4 kes ajaran sesat cuba menular di Malaysia

BACA LAGI: Ajaran sesat: Pantau anak-anak elak ideologi sekularisme, solat tetapi berzina

Ajaran-sesat-Millah-Abraham-kembali-panas-di-Malaysia

Ajaran sesat Millah Abraham aktif di Negeri Sembilan pada 2019.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, tiga beranak itu tidak melakukan sebarang aktiviti ajaran tersebut semasa ditahan pihaknya.

Tetapi terdapat beberapa barangan seperti dokumen dan buku nota yang dirampas.

"Ketika ditahan mereka tidak menjalankan sebarang aktiviti tetapi siasatan mendapati mereka merupakan pengikut kepada ajaran itu. Turut dirampas 15 barang dan dokumen termasuk buku nota, komputer riba dan telefon bimbit.

Tambah Ahmad Zaki lagi, tiga sekeluarga itu melakukan penyebaran ajaran tersebut secara rahsia serta merekrut ahli baharu.

Modus operandi mereka adalah mendapatkan ahli menerusi pertemuan di restoran atau kedai makan.

"Mereka bergerak secara sembunyi seperti di restoran atau kedai makan, kita percaya ahli bukan sahaja di negeri ini tetapi seluruh negara dan ada yang dalam kalangan profesional," ujar Ahmad Zaki.

Ajaran Millah Abraham merangkumi kepercayaan wujudnya nabi baharu, lafaz syahadah berlainan dan menggabungkan tiga agama iaitu Islam, Yahudi dan Nasrani. Selain itu, kepercayaan Millah Abraham menetapkan haram bagi sembelihan bagi bukan ahli.

Sekeluarga tersebut ditahan mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 iaitu berkaitan ajaran meragukan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram