Masih gagal dihubungi, polis sedia mohon waran tangkap pelakon belasah kekasih


  • 112
  • Rabu, 10 Jul 2024

Pelakon belasah kekasih gagal mematuhi arahan pihak polis untuk hadir mengikut tarikh dan masa yang ditentukan.

PELAKON yang didakwa membelasah teman wanitanya hingga cedera dalam kejadian di Petaling Jaya, Ahad lepas gagal dihubungi pihak polis bagi proses merakam keterangan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, pegawai penyiasat kes sudah cuba menghubungi pelakon terbabit termasuk melalui aplikasi WhatsApp, namun tidak berjawab dan dibalas.

"Kita akan membuat panggilan memberi keterangan kepada beliau untuk hadir mengikut Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dan beliau sedang dikesan untuk penyampaian panggilan itu.

BACA LAGI: 'Nateh bukan aku gila', Ammar Alfian nafi belasah kekasih dalam SUV di Ara Damansara

BACA LAGI: '14 tahun pertama jadi cabaran hebat rumah tangga', ramai simpati hubungan Dr Jezamine-Harith Iskander

"Jika selepas penyampaian Seksyen 111 KTJ disempurnakan dan subjek masih gagal mematuhi untuk hadir mengikut tarikh dan masa yang ditentukan, kita akan memohon waran tangkap melalui mahkamah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pelakon itu dihubungi selepas permohonan untuk mendapatkan Perintah Untuk Siasatan (OTI) terhadap suspek yang dikemukakan semalam dibenarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya.

Dalam pada itu, polis setakat ini sudah merakam keterangan kakak mangsa sebagai saksi, selain sedang menunggu laporan perubatan bagi membantu siasatan.

"Kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya selepas siasatan lengkap," katanya.

Pada Selasa, Shahrulnizam berkata, pihaknya sudah membuat permohonan untuk mendapatkan OTI dari Timbalan Pendakwa Raya untuk memanggil suspek bagi dirakam percakapan pada Rabu.

Pada 7 Julai lepas, seorang wanita mendakwa dipukul teman lelakinya yang juga pelakon dalam kejadian di Ara Damansara, pada pukul 3 pagi.

Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa keluar bersama kakaknya sebelum dihubungi suspek yang memarahinya kerana perselisihan faham.

Teman lelaki mangsa berusia 37 tahun kemudian meminta wanita itu untuk datang berjumpanya sebelum mereka bertemu di Ara Damansara.

Sebaik tiba, mangsa masuk ke dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu teman lelakinya.

Secara tiba-tiba, teman lelaki mangsa memarahinya dan terus menumbuk mata sebelah kiri serta badan wanita itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram