DBKL, JWP taja 756 penjaja dan 434 suri rumah skim perlindungan PERKESO


  • Primer
  • Rabu, 03 Jul 2024

Penjaja dan suri rumah yang berada di kawasan Kuala Lumpur dapat menerima faedah skim perlindungan PERKESO secara percuma selama setahun. — Gambar hiasan

SERAMAI 756 penjaja dan 434 suri rumah golongan B40 menerima tajaan penuh bagi skim perlindungan keselamatan sosial di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).

Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Steven Sim Chee Keong berkata, tajaan caruman Skim Perlindungan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada penjaja tersebut di bawah Pelan 2 yang berjumlah RM232.80 ditaja oleh pihak DBKL dengan kumulatif keseluruhan perlindungan bernilai RM175,996.80.

Steven berkata, perlindungan SKSPS kepada pencarum adalah sangat wajar berikutan perangkaan PERKESO untuk tahun 2024 sehingga 21 Jun lalu.

BACA LAGI: Tempoh pemutihan sudah tamat, PERKESO bakal heret kelab culas carum pemain ke mahkamah

BACA LAGI: PERKESO lanjut tempoh Bulan Pemutihan, majikan dapat peluang daftar dan carum pekerja

msg1050426791-34703

Pihak KESUMA dan JWP bekerjasama dalam memberikan tajaan kepada dua golongan terbabit.

Bukan itu sahaja, beliau juga memaklumkan bahawa JWP berbesar hati untuk menaja Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) kepada 434 suri rumah B40 di daerah Wilayah Persekutuan dengan nilai tajaan berjumlah RM52,080,00.

"Perlindungan kepada golongan suri rumah ini adalah untuk memberi perlindungan keselamatan sosial daripada bencana domestik dan keilatan semasa menguruskan rumah tangga," katanya kepada pemberita ketika Majlis Penyerahan Tajaan Caruman SKSPS dan SKSSR di Kuala Lumpur pada Rabu.

Beliau berkata, kedua-dua tajaan SKSPS dan SKSSR adalah untuk tempoh 12 bulan bermula tarikh mereka didaftarkan.

"Ini bermakna kerajaan para penjaja yang berdaftar di bawah DBKL dan suri rumah di kawasan terbabit tidak perlu membayar satu sen pun untuk menerima faedah dalam skim tersebut.

"Kos tersebut ditanggung kerajaan 100 peratus selama tempoh itu bermula tahun ini (2024)," jelasnya.

Pada masa sama, DBKL memaklumkan, antara faedah yang bakal diperolehi menerusi skim tersebut adalah faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, faedah orang tanggungan, elaun layanan sentiasa, faedah pengurusan mayat, kemudahan pemulihan jasmani dan vokasional serta faedah pinjaman pendidikan.

"Kesemua penjaja yang terpilih merupakan penjaja yang terlibat dengan program Lestari Niaga yang dianggar seramai 2,095 orang.

"Daripada jumlah tersebut, pihak DBKL telah memilih 756 penjaja yang menepati kriteria yang ditetapkan iaitu penjaja yang mempunyai lesen aktif, tiada tunggakan sewa dan tunggakan kompaun DBKL serta tiada perlindungan aktif PERKESO," katanya.

msg1050426791-34705

Antara penjaja yang menerima tajaan skim perlindungan PERKESO pada Rabu.

Jelasnya, ia merupakan projek naik taraf fasiliti penjaja yang melibatkan premis milik DBKL dan gerai-gerai statik (gerai tepi jalan) di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Program itu juga diperluaskan kepada skop pembangunan dan penyusunan semula penjaja, pemerkasaan komuniti penjaja dan promosi bagi kelestarian penjaja untuk memberi lebih keselesaan, bersih, selamat, moden, dan seterusnya meningkatkan penjanaan ekonomi penjaja.

"Salah satu lokasi yang terlibat adalah di Pasar dan Pusat Penjaja Wirawati yang telah dijenamakan semula kepada Lestari Niaga Madani @ Wirawati.

"Sehubungan dengan itu, DBKL menyeru kepada semua penjaja yang terlibat dengan program Lestari Niaga agar berusaha memenuhi kriteria yang ditetapkan sehingga November 2024 bagi membolehkan mereka mendapat tajaan SKSPS pada 2024," katanya.

Dalam majlis sama, JWP bersama PERKESO turut mengadakan sesi penyerahan Surat Niat Kerjasama sebagai salah satu usaha untuk menoktahkan kemiskinan tegar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menerusi Program Social Synergy yang dilaksanakan oleh PERKESO.

Melalui sinergistik itu, pangkalan maklumat berkenaan penerima bantuan dapat diintergrasikan menerusi sistem MySynergy bagi mengatasi isu keciciran dan pertindihan bantuan di Wilayah Persekutuan.

Perbadanan Putrajaya (PPj) juga turut sama menyokong usaha meningkatkan kesedaran kepentingan perlindungan keselamatan sosial dengan meletakkan prasyarat daftar dan carum PERKESO kepada semua peniaga dan penjaja di kawasan Putrajaya mengikut kaedah perlesenan PPj. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram