KERAJAAN akan terus memperkukuhkan asas ekonomi negara melalui pelaksanaan dasar perdagangan dan pelaburan yang terbuka, telus serta mesra perniagaan.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bagi mencapai matlamat itu, beberapa usaha sedang giat dilakukan di peringkat Asia Pasifik dan rantau Asean dengan berganding bahu bersama sektor industri yang terbabit.
“Ini termasuklah usaha yang sedang dijalankan oleh kerajaan bagi meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
“Kerajaan juga akan terus menyasarkan pelaburan berkualiti tinggi, berorientasikan teknologi termaju yang akan menjanakan pekerjaan bagi Keluarga Malaysia berpandukan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA),” katanya.
Tambah beliau lagi, bagi memastikan kelancaran dasar-dasar mesra perniagaan dapat dilakukan pada waktu menuju fasa endemik, MITI akan menentukan sektor ekonomi kekal beroperasi dalam persekitaran yang selamat dan kondusif.
“Pelaksanaan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang diterajui oleh MITI menyumbang kepada pembukaan ekonomi secara selamat di mana lebih sejuta pekerja sektor pembuatan berjaya divaksinasi lengkap.
“PIKAS merupakan model kerjasama awam swasta yang signifikan dan berkesan dalam mencapai agenda negara untuk mengimbangi perlindungan nyawa dan kelangsungan ekonomi,”ujarnya ketika Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI 2020) yang berlangsung baru-baru ini. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram