Kereta tak lepas potong, 2 beradik maut motosikal dirempuh di Yan


  • 112
  • Ahad, 16 Jun 2024

Kereta yang dipandu lelaki berusia 61 tahun remuk dalam kemalangan di Yan, Kedah. — Agensi

DUA beradik maut selepas terlibat kemalangan jalan raya yang berlaku di Jalan Teroi Titi Lahar, Yan, Kedah pada Sabtu.

Memetik laporan Buletin TV3, kejadian yang berlaku pada 8.30 malam itu mengorbankan Muhammad Zulqarnain Mohd Delmi, 22 dan adiknya iaitu Ahmad Firashi Ilyas, 11 yang menaiki motosikal ketika bertembung dengan sebuah kereta.

Kedua-dua beradik ini maut selepas mengalami kecederaan di badan dan kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

BACA LAGI: Wanita, anak OKU antara 3 maut kemalangan 2 kenderaan di Jerantut

BACA LAGI: [VIDEO] Selamba jalan bawah jejantas sampai motor nak elak kemalangan, ramai marah polis tertutup 'hijab'

syuhada (1)

Motosikal yang ditunggang dua beradik dirempuh kereta di Yan. — Agensi

Menurut Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 61 tahun cuba memotong dengan memasuki laluan bertentangan.

Jelas beliau, cubaan memotong itu kemudiannya tidak berjaya apabila kereta tersebut bertembung dengan moto ditunggang oleh Zulqarnain dan Firashi.

"Ketika kejadian, dua beradik itu dalam perjalanan dari Yan ke Gurun sementara pemandu kereta tersebut dari arah bertentangan.

"Akibatnya, penunggang dan pembonceng motosikal tercampak ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mereka kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Yan untuk bedah siasat," kata Shahnaz.

Shahnaz juga mengesahkan yang pemandu tersebut turut mengalami kecederaan di dada.

Kes kemalangan ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram