Video, lagu dijadikan bahan politik, Tam Spider anggap parodi jadi rezeki


  • Tular
  • Khamis, 04 Jul 2024

Tangkap layar video tular memaparkan Tam sedang membuat persembahan dengan lagu kumpulannya yang sudah diparodikan dengan pengubahan lirik berunsur politik.

BARU-BARU ini, tular satu video memaparkan persembahan lagu ciptaan kugiran terkenal tanah air, Spider, bertajuk Cinta Dewa Dewi yang diubah suai suara dan lirik dengan pengisian berunsur politik.

Menerusi klip tersebut, vokalis kumpulan tersebut, Tam dilihat sedang bermain gitar di atas pentas dipercayai dalam satu acara di universiti tempatan.

Video berkenaan terlebih dahulu dimuat naik oleh satu akaun TikTok, salahuddin.ayubi491 pada Selasa lalu.

BACA LAGI: Kadar kesuburan menurun: Tingkat jumlah taska dan contohi Korea antara 4 cara tangani TFR

BACA LAGI: Malaysia sedia kerjasama dengan Indonesia, hantar pasukan pengaman ke Palestin

Difahamkan, lagu yang dialih suara dan diparodikan pada klip itu pada asalnya dimuat naik oleh seorang pempengaruh media sosial, yang dikenali sebagai DD Chronicle di TikTok sekitar tahun lepas.

Mengulas mengenai isu tersebut, Tam ketika dihubungi Majoriti pada Khamis berkata, dia mengakui mengetahui mengenai penggunaan lagu kumpulannya yang sudah diubah suai itu.

Bagaimanapun, dia atau nama sebenarnya Rustam Mustafah, 51, menganggap itu bukan satu kesalahan besar dan tidak kisah dengan perkara berkenaan

"Selagi tidak sampai menjatuhkan agama dan akhlak kita sebagai orang Islam, saya rasa tak ada salah. Itu mungkin gurauan antara rakyat bersama pemimpin," katanya.

Menurut Tam, ia bukan kali pertama lagu kumpulannya digunakan bagi tujuan politik.

2765560

Tam Spider.

Malah, Tam berkata, perkara tersebut adalah satu kebiasaan yang berlaku terhadap mana-mana karya seni di seluruh dunia.

"Bukan kita orang punya lagu sahaja? Satu dunia punya lagu pun rasanya. Bila ada ayat-ayat itu macam kena dengan banyak situasi.

"Orang akan pakai. Saya rasa lagu kami memang daripada dulu-dulu memang banyak pihak politik guna pakai. Antaranya sebelum ini ada pihak yang gunakan lagu Mabuk.

"Tapi sekarang ini lagu kami dia buat parodi dengan tukar lirik," ujarnya yang turut berpandangan perkara itu juga secara tidak langsung dapat memperkenalkan karya Spider kepada pihak yang belum mengenali mereka.

Tam pada masa sama mengakui isu tersebut sememangnya berpotensi menimbulkan rasa tidak senang terhadap sesetengah pihak khususnya mereka yang memiliki kecenderungan politik.

Bagaimanapun, dia menganggap perkara itu sebagai sebahagian daripada risiko yang perlu dilalui sebagai anak seni yang sentiasa terdedah kepada pelbagai tanggapan.

Ditanya adakah dirinya risau jika nama Spider terjerumus dengan ke dalam politik termasuk dengan mana-mana pihak tertentu, Tam berkata, dia yakin bahawa peminatnya bijak dalam membuat penilaian.

"Saya rasa netizen bijak pandai untuk menilai sama ada saya terlibat atau tidak. Mereka tahu dan tengok apa kenyataan saya di akaun Instagram," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram