SELEPAS 25 tahun, penantian peminat Spider berakhir selepas kumpulan legenda itu akhirnya mengadakan konsert solo pertamanya.
Spider Keluar Sarang Live in Kuala Lumpur 2024 berlangsung di Zepp KL pada Sabtu lalu.
Sambutan terhadap konsert kumpulan legenda berasal daripada Johor Bahru, Johor itu tidak boleh dinafikan selepas tiket bagi acara terbabit habis dijual tidak sampai 48 jam pada akhir bulan lalu.
Seawal setengah jam sebelum acara bermula, penonton sudah bersesak memenuhi keseluruhan panggung Zepp KL.
Malah pengacara, Falyq Hikyle yang membuka pentas pada malam itu terpaksa meminta penonton di dalam untuk memanfaatkan setiap ruang kosong di hadapan bagi membolehkan mereka yang berada di luar masuk ke dalam.
Tepat pukul 8.45 malam, tirai pentas dibuka dengan kesemua anggota Spider berada di atas pentas bersedia untuk menghangatkan panggung.
Sama seperti awal kemunculannya, Spider tetap tampil bersahaja tanpa memerlukan sebarang gimik dengan Tam, sebagai vokalis utamanya hadir dengan kemeja biru gelap, bercelana jeans dan topi.
Meskipun begitu, aura dibawa kumpulan legenda ini ternyata sudah cukup kuat untuk membangkitkan semangat penonton yang didengar bersama-sama bersorak menggamatkan venue dengan laungan nama kumpulan tersebut.
Seramai 2,400 peminat hadir di konsert Spider Keluar Sarang Live in Kuala Lumpur 2024 berlangsung di Zepp KL pada Sabtu. — IFIX Entertainment
Spider memulakan persembahan dengan lagu berentak ska rock, Ajaib, sekali gus terus menjemput penonton ikut sama berlompat.
Diiringi dengan horn section, Ajaib yang merupakan lagu daripada album kelima kumpulan itu, Kita Satu, benar-benar pilihan terbaik bagi menetapkan mood di keseluruhan konsert terbabit.
Penonton kemudiannya terus dibawa menari dengan lagu rancak iaitu Rasakan Resapkan, Anti Graviti sebelum peminatnya dibawa menyanyi bersama-sama dengan naskhahnya yang cukup antemik iaitu Ngam Ho.
Selepas menamatkan lagu keempat, Tam mula menyapa peminatnya dengan melahirkan penghargaan terhadap sambutan cukup menakjubkan.
"Ini satu kenangan paling indah aku pernah tengok," ujar Tam atau nama sebenarnya Rustam Mustafah di hadapan kira-kira 2,400 peminatnya yang menghadiri konsert tersebut.
Persembahan kemudiannya diteruskan dengan lagu Lengit, Katalis, Mungkinkah Terjadi, Laukku Cukup Masin, Telinga Ke Tulang dan diakhiri dengan Mabuk.
Spider bergambar di hadapan ribuan peminat yang hadir pada Sabtu selepas selesai persembahan. — IFIX Entertainment
Selepas berehat, persembahan separuh kedua konsert itu diteruskan dengan hidangan lagu-lagu hits kumpulan terbabit dimulakan dengan Cinta Dewa Dewi, Kacap Terlabik, Buat Sang Puteri, Kekasihku, Nazraku, Kasih Latifah dan Tapi Bagaimana.
Spider turut membawakan lagu cover nyanyian Alleycats, Hingga Akhir Nanti yang berada di dalam album sulung kumpulan bertajuk Ngam Ho terbitan 1999.
Bahagian akhir konsert diakhiri dengan tiga lagu popular kumpulan terbabit iaitu Relaku Pujuk, Aladin dan Bila Nak Saksi.
Di sebalik usianya yang sudah menjengah 51 tahun, Tam dilihat tidak menunjukkan sebarang masalah untuk mempamerkan nyanyian cukup bertenaga sepanjang persembahan yang melibatkan sebanyak 21 lagu.
Malah, boleh dikatakan lontaran vokalnya yang terkenal dengan suara macho serak basah itu langsung tidak berubah jika dibandingkan daripada album pertamanya yang diterbitkan 25 tahun lalu.
Dalam pada itu, selain Aie (drum), perubahan berlaku terhadap beberapa anggota utamanya yang kini dibarisi oleh Pown (gitaris) dan Eiz (bes) tidak sedikit menjejaskan kualiti persembahan dipamerkan khususnya dalam menampilkan imej bunyiannya yang terkenal dengan genre pop, rock dan ska. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram