Empat tahun peram lagu sebab Tony Spider, Jinbara akhirnya buat 'comeback' dengan 'Kurniaku Terindah'


  • Hiburan
  • Khamis, 07 Sep 2023

Jinbara mendedikasikan single terbaharu berjudul Kurniaku Terindah kepada Allahyarham Tony Spider.

PEMINAT seni tanah air pastinya mengenali lagu-lagu popular kumpulan Jinbara seperti Kasihnya Laila, Farhana, Cinta Pantai Merdeka dan Patri.

Setelah lama menyepi, akhirnya Jinbara muncul kembali menyambung perjuangan mereka dalam dunia muzik rock melayu tempatan dengan mengeluarkan lagu terbaharu berjudul Kurniaku Terindah.

Menurut gitaris Jinbara, Cepot, lagu tunggal terbaharu yang dilancarkan pada 18 Ogos itu menghadapi banyak kekangan ketika menghasilkan rakaman video.

"Satu lagu memakan masa empat tahun. Kita rakam lagu ini dari 2018, tapi 2023 baru dilancarkan,” katanya.

Cepot berkata, sokongan-sokongan daripada orang terdekat meningkatkan semangat mereka untuk melancarkan lagu itu dan terus berkembang di dunia seni.

Mengulas lanjut berhubung penghasilan lagu itu, Jinbara mendedahkan bahawa proses rakaman single telah berjalan dengan lancar sebelum menerima berita duka pemergian bekas pemain bass kumpulan Spider, Allahyarham Tony Iskandar pada 30 Jun 2021.

"Tony (pemain bass kumpulan Spider) banyak bagi ilham untuk lagu ni.

“Selepas pemergiannya, tugas sebagai penerbit lagu diambil alih oleh Hanafi Spider.

“Lagu tunggal terbaharu ini memberikan satu erti apabila kita masih lagi bernafas hingga hari ini, diberikan kesihatan yang baik, maka itulah kurnia terindah dari Maha Esa,” katanya kepada Majoriti.

Berada di bawah naungan Luncai Emas Sdn. Bhd yang lebih dikenali sebagai Luncai Emas, penerbitan Kurniaku Terindah merupakan satu projek rakaman khas Jinbara bersama-sama syarikat milik Datuk M. Nasir.

“Kita usaha sama satu lagu ni dari Datuk M. Nasir, tapi kami juga rancang untuk buat penulisan dari Jinbara sendiri selepas ini.

“Ini suatu kehormatan besar dan rasa bersyukur kerana kami diberikan kepercayaan untuk membawakan lagu hasil ciptaan Datuk M.Nasir," kata pemain dram Jinbara, Ahtan.

Selain Cepot dan Ahtan, line up terkini Jinbara terdiri daripada Lan (gitaris) dan vokalis baharu, Along yang menggantikan dua vokalis terdahulu iaitu Yabang dan Tia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram