JANGKAAN pelaksanaan rasionalisasi subsidi minyak petrol RON95 tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar pada masa sama mengesahkan bahawa masih belum ada kertas dasar yang dibawa ke Kabinet untuk melaksanakan perkara tersebut.
"Belum ada kertas dasar yang boleh membawa kita untuk melaksanakannya dengan cepat. Ada kajian dari dulu, tetapi kita fikir lebih baik lihat dulu langkah (penyasaran) ke atas elektrik dan diesel.
"Lihat dulu kesannya dan bagaimana reaksi rakyat. Selepas itu barulah kita sedia berunding tentang keperluannya," katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
BACA LAGI: Jualan diesel turun mendadak bukti subsidi diseleweng — Fuziah
Anwar mengesahkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 dalam masa terdekat. — The Star
Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan bahawa kerajaan Madani tetap dengan keputusan melaksanakan subsidi bersasar untuk diesel sebelum ini meskipun berdepan dengan pelbagai kritikan.
Anwar berkata, langkah tersebut sangat penting untuk dilakukan bagi mengukuhkan asas ekonomi negara kerana tidak mahu hasil negara dibazirkan dan subsidi tidak disalurkan kepada kumpulan sasar.
Katanya, keperluan subsidi diesel itu disasarkan berikutan isu penyeludupan bahan api yang berlarutan.
Terdahulu, kerajaan melaksanakan subsidi diesel bersasar bermula 10 Jun lalu dengan harga runcit RM3.35 di stesen-stesen minyak seluruh Semenanjung Malaysia manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter.
Kerajaan juga kemudiannya bersetuju supaya tidak meningkatkan kadar tarif elektrik kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung bermula 1 Julai hingga 31 Disember ini.
Pengguna-pengguna komersial dan industri pada masa sama akan mengalami penurunan kadar surcaj Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) sebanyak satu sen bagi tempoh yang sama.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram