PENUMPANG berdepan detik cemas apabila pesawat Air Europa yang dinaiki dalam perjalanan dari Madrid, Sepanyol ke Montevideo, Uruguay mengalami gelora udara (air turbulence) yang kuat pada Isnin.
Menerusi video tular di media sosial sejak Selasa, beberapa penumpang dilihat berada di tempat penyimpanan bagasi atau overhead compartment ketika kejadian.
Video itu juga memaparkan keadaan mangsa termasuk kanak-kanak yang ditarik keluar dari tempat tersebut selepas pesawat itu berjaya melakukan pendaratan cemas di lapangan terbang Natal, Brazil.
BACA LAGI: Polis siasat individu buat dakwaan fitnah TMJ terlibat rasuah RM20 juta
BACA LAGI: [VIDEO] Ambulans bawa pesakit diarah berhenti, matikan siren beri laluan kepada Jokowi
Menurut seorang penumpang bernama Cecília Lagucci, anaknya berusia dua tahun turut menjadi mangsa yang tercampak akibat gegaran pesawat itu.
"Suami saya dan saya sedang mencari si kecil yang hilang ketika kejadian dan kemudian menemuinya di atas tempat penyimpanan bagasi.
"Dia berada di atas sambil menangis. Suami saya terpaksa pergi dan bawa dia turun semula," katanya.
Kejadian tersebut turut menyebabkan beberapa kerosakan pada panel tingkap dengan topeng oksigen kecemasan yang tercabut dan tergantung di syiling pesawat.
Dalam pada itu, kejadian tersebut sekali gus mencederakan seramai lebih 30 penumpang sebelum mereka dihantar ke hospital dan klinik di Natal untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sekretariat Kesihatan Rio Grande do Norte Brazil berkata, setakat ini, seramai 11 orang masih dirawat di Hospitsl Monsenhor Walfredo Gurgel, Natal. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram