Kerajaan teliti keperluan rasionalisasi subsidi petrol RON95


  • Primer
  • Rabu, 26 Jun 2024

Rafizi menjelaskan bahawa penelitian dibuat itu bertujuan memperkukuh kemapanan fiskal negara dan mengurangkan ketirisan dalam pengagihan subsidi diesel. — Gambar hiasan

KERAJAAN sedang meneliti keperluan untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi terhadap petrol RON95, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau bagaimanapun menjelaskan buat masa ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel yang bermula 10 Jun lalu.

Ia termasuk memastikan supaya langkah penyasaran subsidi itu menjadi lebih stabil, sekali gus mencapai objektif ditetapkan.

BACA LAGI: Johor bukan rakan kongsi istimewa seperti Sabah dan Sarawak — Pakar Perlembagaan

BACA LAGI: Rafizi, Isham individu tepat berdebat, selesai polemik rasionalisasi subsidi bahan api — Penganalisis

Rafizi turut menjelaskan bahawa penelitian dibuat itu bertujuan memperkukuh kemapanan fiskal negara dan mengurangkan ketirisan dalam pengagihan subsidi diesel.

"Jika rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95 dilaksanakan pada masa akan datang, kerajaan akan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan golongan yang terkesan akan diberikan bantuan yang sewajarnya," katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mengenai tempoh masa pelaksanaan penuh subsidi bersasar seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 November 2022.

Soalan itu turut menyentuh mengenai sama ada subsidi bersasar bagi petrol akan dilaksanakan tahun ini, selain jaminan kerajaan terhadap peningkatan yang harga barang selepas langkah itu dijalankan.

Rafizi menjelaskan, pelaksanaan rasionalisasi subsidi bakal membantu kerajaan memperkukuh kedudukan fiskal dan mengoptimumkan sumber yang ada.

Tambahnya, penjimatan daripada inisiatif penyasaran semula subsidi juga akan dipulangkan kepada rakyat melalui pelaksanaan program dan projek memberi manfaat serta benar-benar diperlukan rakyat.

Ia antaranya melibatkan penambahbaikan dalam penyediaan perkhidmatan sosial dan kemudahan awam, termasuk kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan keselamatan.

Interview Ministry of Economy  Rafizi Ramli. —LOW LAY PHON/The Star

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli

Menerusi jawapan bertulis kepada Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Payar Besar), beliau mengakui bahawa penyelarasan semula subsidi bahan api dijangka memberi kesan kepada kadar inflasi negara.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan sudah merangka strategi terbaik untuk menangani kemungkinan itu termasuk melalui pemberian bantuan tunai bersasar.

Mengambil contoh langkah semasa yang dijalankan kini, beliau berkata, kerajaan masih memberikan subsidi dan mengekalkan harga diesel pada kadar RM2.15 seliter kepada 23 jenis kenderaan logistik melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0.

Selain itu, pengekalan harga diesel RM1.88 bagi pengangkutan awam darat termasuk bas sekolah, bas ekspres, ambulans dan bomba, manakala kadar RM1.65 kekal kepada nelayan dan kerajaan turut menyediakan bantuan subsidi tunai BUDI MADANI.

"Bank Negara Malaysia (BNM) melalui penerbitan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023 menjangkakan pelaksanaan rasionalisasi subsidi akan memberi implikasi jangka pendek kepada kadar inflasi negara.

"Kadar inflasi bagi 2024 diunjurkan antara dua hingga 3.5 peratus. Keadaan ini sebahagiannya disebabkan peralihan secara berperingkat ke arah mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar, terutama membabitkan subsidi bahan api," ujarnya.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, kedudukan fiskal kerajaan yang semakin mencabar memerlukan komitmen terhadap penyasaran semula subsidi yang menjadi antara komponen utama dalam belanjawan mengurus.

"Kesejahteraan rakyat secara keseluruhan masih menjadi keutamaan. Justeru, kerajaan perlu memilih kaedah penyasaran semula subsidi yang dapat mengimbangi matlamat kerajaan untuk menambah baik kedudukan fiskal dan pada masa sama, mengurangkan impak ke atas kos sara hidup yang ditanggung rakyat," katanya.

Rafizi berkata, berdasarkan unjuran yang dilakukan beberapa organisasi antarabangsa seperti S&P Global, EIU dan Bloomberg, purata harga global bagi minyak Brent diunjur pada AS$85 setong bagi 2024.

"Bagaimanapun, jika harga minyak naik secara mendadak, kerajaan melalui Kementerian Kewangan, BNM dan Kementerian Ekonomi akan membuat penelitian semula mengikut keperluan semasa.

"Ini bagi memastikan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah tidak terbeban dengan sebarang perubahan harga," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram