Bukan tuduh sesiapa, tapi PH mahu budaya sabotaj kempen dihentikan


  • Politik
  • Jumaat, 28 Jun 2024

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan dengan Perikatan Nasional.

PENGARAH pilihan raya Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid mahu budaya sabotaj terhadap kempen mana-mana parti bertanding dihentikan serta-merta.

Menurutnya, setiap parti bertanding haruslah menjalankan kempen mereka secara profesional tanpa melakukan provokasi terhadap pihak lawan.

Teguran itu dibuat Abdul Hamid secara terbuka tanpa ditujukan kepada mana-mana pihak.

BACA LAGI: PRK Sungai Bakap: BN sedia bantu calon Pakatan Harapan

BACA LAGI: PKR Sungai Bakap: Seorang pemimpin perlulah berpengetahuan — Joohari

449055250_310655702118465_8014973961262529262_n

Abdul Hamid (tengah) berbincang dengan ahli jentera kempen Kerajaan Perpaduan bagi PRK DUN Sungai Bakap. — Facebook/Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid

"Kami tidak menuduh sesiapa, tapi ia pastinya bukan daripada pihak kami. Oleh itu, kami minta agar perkara ini dapat dihentikan. Ayuh bertanding dan berkempen secara profesional," kata Abdul Hamid.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertarungan satu lawan satu melibatkan calon PH, Dr Joohari Ariffin dengan wakil Perikatan Nasional iaitu Abidin Ismail.

Abdul Hamid berkata demikian selepas Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang membuat laporan polis pada Khamis apabila jentera kempen Kerajaan Perpaduan cuba dirosakkan oleh parti tertentu.

Ketua AMK Pulau Pinang, Muhammad Fadzli Roslan berkata, sebanyak 38 kain rentang dan 53 bendera yang dipasang sekitar Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, Pulau Pinang dicabut oleh individu tidak bertanggungjawab termasuklah dicampak ke dalam longkang. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram