PAMERAN kerjaya antara program yang sering dianjurkan di Malaysia dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran sekali gus membantu menaikkan taraf ekonomi negara.
Anjuran itu juga menjadi antara usaha pihak tertentu dalam usaha menawarkan maklumat, peluang dan penempatan pekerjaan kepada rakyat.
Ia bagaimanapun dianggap sebagai penipuan atau 'scam' kerana tidak menjanjikan sebarang jaminan untuk mendapatkan tawaran pekerjaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Belum tentu dapat kerja, ramai dakwa karnival kerjaya sebenarnya scam
'Job fair' kebiasaannya sering disertai golongan penganggur yang memerlukan pekerjaan. — Gambar hiasan/Agensi
Terdahulu, warga maya dikecohkan dengan pandangan seorang lelaki menerusi satu audio siar (podcast) yang dimuat naik di aplikasi TikTok @rehatsantaistudio dengan berkongsi pengalaman peribadinya sewaktu mengunjungi karnival kerjaya yang diadakan di Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Mengulas mengenai kriteria pengambilan, individu tersebut mempersoalkan tindakan segelintir syarikat bertindak mengenakan syarat-syarat yang dianggap tidak wajar.
Malah katanya, tiada apa yang diperoleh sepanjang kunjungannya ke situ, melainkan maklumat berkaitan syarikat yang terlibat dalam pameran berkenaan.
Perkara itu sememangnya tidak dinafikan kerana ia bukanlah platform yang memberi pekerjaan secara pantas.
Pakar Sumber Manusia Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Abdul Rahim Zumrah berkata, pameran kerjaya antara platform terbaik bagi membantu syarikat-syarikat mendapatkan calon-calon sesuai bagi mengisi kekosongan perjawatan di syarikat mereka.
Ada yang beranggapan bahawa pameran kerjaya adalah 'scam'. — Twitter
Abdul Rahim berkata, syarikat juga boleh memberikan penjelasan secara langsung dengan para pemohon tentang jenis pekerjaan serta faedah yang ditawarkan melalui pameran itu.
"Ini secara tidak langsung akan meningkatkan volume permohonan dan membolehkan pihak syarikat mendapatkan calon dalam kalangan cream of the cream bagi mengisi kekosongan jawatan di syarikat mereka," katanya kepada Majoriti.
Beliau pada masa sama menjelaskan bahawa pameran kerjaya itu juga dilihat sebagai platform yang lebih selamat berbanding tawaran pekerja dalam talian daripada perspektif pemohon.
Katanya, ia lebih dipercayai kerana kebiasaannya pameran tersebut banyak dianjurkan oleh agensi kerajaan yang sah.
"Kebiasaannya syarikat-syarikat yang menyertai job fair anjuran agensi kerajaan ini adalah syarikat yang berdaftar di Malaysia dan wakil rasmi syarikat akan hadir sepanjang berlangsungnya job fair tersebut.
"Wakil syarikat akan berkongsi kad dan kontak rasmi syarikat, memakai pakaian rasmi syarikat dan mengedarkan brochure rasmi yang mempunyai nama dan alamat lengkap syarikat.
"Bahkan ada kalanya, sesi temuduga turut diadakan oleh pihak syarikat semasa berlangsungnya job fair tersebut," ujarnya.
Terdapat proses tapisan sekiranya menerima tawaran pekerjaan melalui pameran kerjaya. — Gambar hiasan/The Star
Abdul Rahim bagaimanapun tidak menolak pendapat bahawa pameran kerjaya menjadi pilihan utama pemohon kerana ia tidak menjanjikan tawaran pekerjaan dalam masa singkat.
Menurutnya, ia adalah platform untuk memudahkan pencari kerja mengetahui peluang-peluang pekerjaan di syarikat-syarikat yang menyertai job fair.
"Proses permohonan tetap sama iaitu para pemohon perlu menghantar permohonan ke pihak syarikat dan melalui proses saringan (seperti temuduga) yang telah ditetapkan oleh pihak syarikat.
"Tetapi, kelebihan program ini adalah para pemohon kerja boleh mendapatkan info kekosongan perjawatan di sesebuah syarikat dan boleh terus menghantar permohonan mereka kepada wakil syarikat dalam masa yang sama," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram