PIHAK polis mengambil tindakan dengan membuka kertas siasatan selepas gambar mayat kanak-kanak austistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin tersebar di media sosial.
Memetik laporan Buletin TV3, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kertas siasatan dibuka selepas gambar mayat kanak-kanak tersebut merupakan bahan bukti kepada siasatan kes itu.
Gambar mayat Zayn Rayyan yang ditemui berdekatan anak sungai dekat tempat tinggalnya iaitu Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor tersebar di aplikasi Telegram pada Sabtu.
BACA LAGI: JKM teliti orang yang layak jaga adik kepada Zayn Rayyan
Ibu bapa Zayn Rayyan didakwa di mahkamah pada 13 Jun lalu. — Agensi
"Polis akan mengesan individu yang disyaki terbabit penyebaran itu.
"Siasatan dijalankan mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88)," kata Hussein.
Sebagai rekod, aplikasi Telegram menyaksikan kebocoran kertas siasatan kes tersebut sebelum ini dan ia menjadi perhatian orang ramai.
Terbaharu, gambar keadaan mayat Zayn Rayyan yang dipercayai ketika proses bedah siasat pula tersebar di media sosial.
Siasatan kes ini masih lagi berjalan dengan kedua-dua ibu bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf sudah didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 13 Jun akibat mengabaikan kanak-kanak tersebut.
Bagaimana pun, kedua-duanya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram