PERIKATAN Nasional (PN) berkemungkinan akan menggunakan logo PAS untuk calon BERSATU yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan 17 Ogos ini.
Terdahulu, media melaporkan Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor, berkata keputusan mengenainya akan dibuat oleh pimpinan PN.
"Seperti Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum ini, semua lapan calon BERSATU berkenaan bertanding dalam pilihan raya di bawah logo PAS-BERSATU.
BACA LAGI: Tak perlu lagi demonstrasi jalanan, cukup sekadar 'pangkah' parti
BACA LAGI: PRK 8 kerusi BERSATU penentu sokongan pengundi Melayu, kata penganalisis
"Kali ini, calon kita yang bertanding pada PRK Nenggiri akan menggunakan logo sama melainkan pemimpin PN memutuskan keputusan baharu," katanya pada Sabtu.
Bagaimanapun, keputusan tersebut dipercayai menerima tentangan dalam kalangan segelintir penyokong parti PAS sendiri.
Hal ini kerana, adalah lebih baik untuk terus melantik calon daripada PAS bagi memastikan kemenangan di kerusi Nenggiri berpihak kepada PN.
Desakan ini timbul berikutan keyakinan bahawa calon PAS mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk memenangi kembali kerusi tersebut, seterusnya mengukuhkan kedudukan PN di kawasan tersebut.
Seorang warga maya, Muhammad Amir berkata, PN seharusnya belajar daripada kesilapan mereka yang dahulu dan harus sedar mereka akan bertanding di Kelantan yang mana parti terkuat di negeri ini adalah PAS
"PAS lebih dikenali dan mempunyai pengaruh yang kuat di Nenggiri. Dengan melantik calon PAS, kita dapat memastikan kemenangan berpihak kepada PN," katanya.
Firdaus Azizi pula berkata, BERSATU tidak mempunyai pengaruh yang kuat di Neggiri.
"BERSATU tidak ada jentera dan 'akar umbi' di Kelantan. Lebih elok sekiranya letak calon PAS yang bertanding," katanya.
Muhyiddin Yassin akan meletakkan calon BERSATU untuk bertanding di PRK DUN Nenggiri memandangkan kerusi tersebut diperuntukkan kepada parti itu pada PRN yang lalu.
Sementara itu, Asri Maba pula memberikan komen yang sinis terhadap kenyataan Pengerusi BERSATU Kelantan tersebut.
"BERSATU tak payah bertanding, terus bagi PAS. Kalau hebat sangat guna logo sendiri. Pada masa itu, baru tahu rakyat nak undi mereka (BERSATU) atau tidak," katanya.
Media sebelum ini melaporkan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meletakkan calon BERSATU memandangkan kerusi tersebut diperuntukkan kepada parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.
"Kerja-kerja lain akan kita susul mengenal pasti calon paling sesuai yang akan diletakkan dan menggerakkan gerak kerja yang tersusun pada peringkat bawah," katanya.
Di pihak lawan, Umno dilaporkan akan meletakkan calon parti itu mewakili blok Kerajaan Perpaduan.
SPR pada Jumaat menetapkan PRK DUN Nenggiri diadakan pada 17 Ogos depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram