Ramlan ada tugas besar, ini antara pembaharuan pilihan raya boleh dibuat SPR


  • Politik
  • Khamis, 27 Jun 2024

Pengerusi baharu SPR dilihat memikul satu tanggungjawab besar untuk membawa perubahan di dalam sistem pilihan raya negara.

SELEPAS lebih sebulan, teka-teki mengenai individu yang mengisi jawatan bagi Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akhirnya terjawab.

Dalam satu kenyataan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan bahawa jawatan itu akan disandang oleh Datuk Seri Ramlan Harun berkuat kuasa pada Rabu.

Beliau berkata, pelantikan Ramlan yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaras dengan Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan.

BACA LAGI: Johor bukan rakan kongsi istimewa seperti Sabah dan Sarawak — Pakar Perlembagaan

BACA LAGI: Rafizi, Isham individu tepat berdebat, selesai polemik rasionalisasi subsidi bahan api — Penganalisis

Ramlan, 60, menggantikan Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang bersara wajib pada 9 Mei lepas.

Pelantikan tersebut dilihat meneruskan tradisi sebelum ini yang menyaksikan jawatan terbabit disandang oleh mereka dalam kalangan bekas penjawat awam kanan kerajaan.

Pada masa sama, pemilihan Ramlan untuk menduduki jawatan berkenaan dilihat hadir dengan tanggungjawab cukup besar khususnya dalam melakukan beberapa perubahan dan reformasi terhadap sistem pilihan raya di dalam negara.

2768847

Pengerusi SPR baharu, Datuk Seri Ramlan Harun.

Imej Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan terdiri daripada Pakatan Harapan (PH) juga menjadikan SPR kini sentiasa dipantau terutamanya dalam membawa perubahan di dalam sistem pilihan raya negara yang sebelum ini dijanjikan gabungan tersebut.

Disebabkan itu, Ramlan kini dilihat memikul satu tanggungjawab besar dalam memastikan perkara berkenaan.

Pelaksanaan persempadanan semula

Antara isu utama yang menjadi tumpuan pada ketika ini adalah mengenai proses pelaksanaan persempadanan semula yang lebih adil berdasarkan kepada nisbah bilangan pengundi antara kawasan Parlimen.

Pada waktu ini, dilaporkan terdapat wujudnya ketidakseimbangan di beberapa kerusi Parlimen dan DUN yang menyaksikan perbezaan cukup ketara jumlah pengundi khususnya antara pengundi bandar dan luar bandar.

Situasi itu menyebabkan nilai pengundi di kawasan bandar yang jumlah populasinya tinggi sesuatu kawasan menjadi kurang bermakna berbanding pengundi di bahagian pedalaman yang jumlahnya agak sedikit untuk sesuatu kawasan.

Pada masa sama, perbezaan jumlah kerusi Parlimen di sesetengah kawasan negeri juga perlu diberikan perhatian bagi membolehkan pengundi di negeri terbabit mempunyai jumlah perwakilan lebih adil di Dewan Rakyat.

Proses persempadanan semula sebelum ini menjadi polemik apabila ia dilihat dilaksanakan bagi memenuhi kepentingan pihak tertentu meneruskan penguasaan politik antaranya dengan melakukan persempadanan mengikut etnik.

Untuk rekod, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari pada Februari lalu memaklumkan bahawa persempadanan kawasan antara Selangor dan Kuala Lumpur akan dimuktamadkan pada 2025.

Mekanisme memudahkan pengundian

Pada masa sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh pada November lalu berkata, proses kajian persempadanan semula oleh SPR di Sarawak telah bermula pada 2024, manakala Sabah pada 2025.

Dalam pada itu, terdapat juga beberapa cadangan penambahbaikan lain khususnya melibatkan mekanisme memudahkan proses pengundian buat pengundi termasuk pengundi luar.

Electoral Reform Commitee Head Tan Sri Datuk Sri Panglima Ab.Rashid Ab.Rahman explaining to the floor on an  open dialogue session of electoral reform commitee of PM department on the matter of reformation system and election's law.

Pengerusi ERC, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman.

Sebagai contoh, pada waktu ini, ramai pengundi luar terutamanya mereka yang berasal dari Sabah dan Sarawak dan tinggal bekerja di Semenanjung kehilangan hak mengundi kerana menghadapi kekangan untuk pulang ke kawasan masing-masing ketika hari mengundi.

Disebabkan itu, terdapat pihak yang mencadangkan agar SPR membenarkan pengundi luar kategori berkenaan untuk mengundi di kawasan atau negeri mereka menetap.

Perluasan sistem undi awal

Dalam pada itu, terdapat juga cadangan untuk perluasan di dalam sistem undi awal yang dilaksanakan ketika ini bagi membolehkan lebih ramai kumpulan pekerja termasuk mereka yang bekerja di dalam sektor yang menyebabkan mereka sukar untuk menunaikan kewajipan ketika hari mengundi seperti industri penerbangan.

Pada waktu ini, sistem undi awal hanya terhad kepada mereka yang berkhidmat di agensi kerajaan seperti pasukan tentera, polis dan beberapa lagi badan penguat kuasa lain.

Dalam pada itu, SPR juga diharapkan supaya dapat melihat semula Laporan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) yang dikeluarkan pada 2020 selepas dua tahun kajian dilaksanakan.

Laporan terbabit menyertakan sebanyak 49 syor untuk penambahbaikan sistem pilihan raya negara antaranya melibatkan bidang kuasa dan pengasingan fungsi SPR serta pemantauan dana parti politik.

ERC diwujudkan semasa pentadbiran PH selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram