Anggota tentera hilang ketika bertugas di sempadan Malaysia-Brunei


  • 112
  • Jumaat, 21 Jun 2024

Anggota terbabit dikenali sebagai Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim sedang melaksanakan tugasan sebagai pengiring penandaan dan pengukuran sempadan Malaysia-Brunei Darussalam. — Gambar hiasan

SEORANG anggota tentera Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) berpangkalan di Kem Kidurong, Bintulu, hilang ketika bertugas dalam Op Ukur di Limbang, Sarawak bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem) Sarawak.

Menurut kenyataan Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM), kehilangan anggota terbabit dikesan pada Selasa lalu lebih kurang pukul 12 tengah hari selepas ketua kumpulan mendapati anggota itu tiada di posisi belakang kumpulan.

Ketika kejadian, anggota terbabit dikenali sebagai Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim sedang melaksanakan tugasan sebagai pengiring penandaan dan pengukuran sempadan Malaysia-Brunei Darussalam di kawasan pengukuran Ulu Tutong (E500) ke Bebuloh (E600) Limbang.

BACA LAGI: Inilah masanya, Umno berpeluang rampas semula DUN Nenggiri

BACA LAGI: Mohd Azizi boleh mohon tangguh PRK DUN Nenggiri, tunggu keputusan mahkamah

Operasi itu bermula pada 11 Jun hingga 2 September 2024 dan dilaksanakan di bawah kawalan Markas 31 Briged Sempadan.

"Kejadian berlaku pada kedudukan di jarak dua kilometer di atas permatang sempadan Malaysia-Brunei dari tanda sempadan E500 menghala ke arah E600,” menurut kenyataan itu.

Susulan daripada itu, usaha mencari dan mengesan anggota segera dilaksanakan kumpulan tersebut terdiri daripada dua anggota TDM dan lima anggota Jupem, namun gagal menemui anggota itu.

"Usaha pencarian juga kemudiannya telah dipergiatkan oleh TDM mulai Rabu lalu di kawasan tersebut dengan melibatkan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta agensi lain yang dikoordinasikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) juga telah mengatur gerak aset mereka dalam membantu usaha pencarian bersama TDM,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram