Penduduk Kundasang diminta waspada ekoran kejadian tanah runtuh di Gunung Kinabalu


  • 112
  • Isnin, 24 Jun 2024

Tanah runtuh yang berlaku di kawasan Gunung Kinabalu, Sabah pada Ahad. — The Star

ORANG ramai terutama penduduk yang tinggal berhampiran kawasan bukit di Kundasang kira-kira 100 kilometer (km) dari Gunung Kinabalu, Sabah dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Ridwan Mohd Taib memaklumkan perkara tersebut susulan kejadian tanah runtuh di Gunung Kinabalu pada Ahad.

"Ambil langkah keselamatan apabila anda melihat tanda-tanda tanah runtuh. Tinggalkan rumah dan hubungi pihak berkuasa untuk pemeriksaan, tetapi jangan panik," katanya Isnin.

BACA LAGI: 'Teringat peristiwa MH370 dan MH17', ramai bimbang dengar pesawat MH780 ke Bangkok isytihar kecemasan

BACA LAGI: MAA tawar ganjaran RM3,000 jejak lelaki Myanmar cakap Melayu muat naik video lapah kucing

Beliau menjelaskan bahawa tanda-tanda tersebut boleh menyebabkan rekahan atau hakisan pada tanah.

Ridwan berkata, nasihat itu juga diberikan kepada pengusaha inap desa di Mesilau, yang terletak di kaki Gunung Kinabalu.

"Ambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan semua penduduk," katanya.

Beliau menambah, pihaknya masih memantau keadaan berikutan kejadian tanah runtuh di Gunung Kinabalu termasuk aliran air di sungai Mesilau yang sedikit terjejas.

Kawasan Mesilau mempunyai industri pelancongan yang berkembang maju dengan beberapa inap desa dan resort di lereng bukit.

Kawasan itu juga menerima banyak kunjungan pelawat khususnya pada hujung minggu dan cuti umum.

Untuk rekod, kejadian pertama dilaporkan pada kira-kira pukul 1.20 pagi Ahad manakala kejadian kedua pada kira-kira 5 pagi di gunung tersebut.

Kejadian itu bagaimanapun dilaporkan tidak melibatkan kecederaan atau kerosakan.

Sementara itu, menurut ramalan cuaca di laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), hujan dan angin kuat berterusan di Ranau dari Isnin hingga 30 Jun ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram