Notis telah dihantar, Speaker Dewan Rakyat tiada pilihan kecuali isytihar kekosongan 6 kerusi MP BERSATU


  • Politik
  • Khamis, 20 Jun 2024

Notis kekosongan enam kerusi Ahli Parlimen Bersatu sudah dihantar dan diterima Speaker Dewan Rakyat pada Khamis. — Gambar hiasan/The Star

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sudah menyerahkan notis pemakluman berhubung kekosongan kerusi enam Ahli Parlimennya dan sudah diterima Speaker Dewan Rakyat pada Khamis, kata pemimpin parti itu.

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, notis membabitkan kekosongan kerusi Parlimen Jeli, Gua Musang, Bukit Gantang, Kuala Kangsar, Tanjong Karang dan Labuan itu juga telah ditandatangan olehnya selaku Ketua Whip parti.

Katanya, pengesahan kekosongan luar jangka ini hendaklah dihormati, apatah lagi Seksyen 18C Akta Pertubuhan memperuntukkan sebarang keputusan sesuatu parti politik adalah muktamad dan konklusif.

BACA LAGI: BERSATU akan hantar surat kepada Speaker, beri notis keahlian gugur sehari 2 lagi — Muhyiddin

BACA LAGI: Pimpinan BERSATU-PAS yakin pertahan kerusi DUN Nenggiri

1942720

Notis tersebut juga sudah diterima Speaker Dewan Rakyat pada Khamis. — Gambar hiasan

Beliau secara prinsipnya yakin bahawa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari mahu memastikan badan Legislatif bebas daripada pengaruh politik kepartian dengan menghormati keluhuran Perlembagaan dan menjunjung kedaulatan undang-undang.

"Beliau tiada pilihan kecuali mengisytiharkan enam kerusi Parlimen tersebut kosong dan seterusnya memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan suatu pilihan raya kecil diadakan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Ronald memaklumkan, pengumuman oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada Rabu mengenai kekosongan luar jangka membabitkan DUN Nenggiri adalah keputusan tepat mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan.

Ronald berkata, perkara tersebut juga selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Justeru sebagaimana Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan perenggan 3, Speaker Dewan Rakyat perlu memastikan berlakunya kekosongan luar jangka dalam masa 21 hari selepas notis diterima.

"Hal ini juga telah diperjelaskan oleh bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram