Tindakan pelik pasangan disyaki kekasih korek tanah di kawasan lapang bawa penemuan janin di Sabah


  • 112
  • Khamis, 20 Jun 2024

Unit Forensik IPK Sabah digerakkan ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan bungkusan kain mengandungi janin yang ditanam.

KECURIGAAN tiga remaja wanita dengan kelibat dua individu tidak dikenali di kawasan tanah lapang, Batu 5½, Jalan Tuaran, Inanam, Kota Kinabalu, Sabah, terjawab apabila menemui bungkusan kain mengandungi janin yang ditanam di kawasan berkenaan pada Rabu.

Salah seorang daripada mereka mendakwa melihat kelibat lelaki dan wanita berhampiran kawasan tanah lapang dengan membawa beg dan penyodok tanah, kira-kira pukul 8 malam, Selasa lalu.

Ketika itu, dia bersama dua rakannya berada di bilik sewa mereka di tingkat satu dan cuba untuk memeriksa namun ketika itu hujan.

BACA LAGI: Polis reman lelaki ada masalah mental guna gunting ragut nyawa ibu

BACA LAGI: Mayat pelajar lelaki ditemui terapung dekat Jambatan Cinta tasik Unimas

Perasaan ingin tahu menyebabkan mereka memeriksa di kawasan tanah lapang berkenaan dan terlihat ada kesan korekan tanah.

Curiga dengan keadaan itu, mereka mengorek semula tanah bagi melihat apa yang ada di dalamnya.

Lalu terkejut apabila terdapat janin di dalam bungkusan berkenaan dan terus membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda ketika dihubungi mengesahkan mengenai penemuan janin terbabit.

Katanya, sepasukan polis termasuk Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah digerakkan ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan lanjut.

"Janin kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk siasatan lanjut.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran,” katanya. — The Star/DURIE RAINER FONG

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram