JOHOR Darul Ta'zim (JDT) terus membuktikan kualiti mereka sebagai raja bola sepak Malaysia selepas mudah menewaskan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dengan keputusan 4-0 dalam perlawanan Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Sabtu.
Pengendali JDT, Hector Bidoglio menurunkan enam pemain import dalam kesebelasan utama dengan Murilo Henrique Santos turun buat pertama kali bersama skuad Harimau Selatan.
JDT menggunakan kelebihan pengalaman enam import dengan menguasai perlawanan pada babak pertama permainan yang dilihat sukar untuk anak-anak buah Park Jae-hong memiliki bola.
BACA LAGI: Piala FA: Bergson 'hilang' dari radar, KDN FC buat penyokong Kelantan lega
BACA LAGI: [VIDEO] 'Lambaian kerinduan', Faisal Halim akhirnya kembali ke stadium
Namun begitu, KDN yang lebih memilih untuk menggunakan taktikal bertahan dan melakukan serangan secara gerak balas pantas berjaya mengikat juara bertahan itu pada separuh masa pertama.
Dalam 10 minit terakhir separuh masa pertama, anak-anak buah Park Jae-hong beberapa kali berjaya memberikan ancaman ke kubu pertahanan JDT yang diketuai oleh bekas pemain Aston Villa, Shane Lowry.
Bekas penjaring terbanyak Liga Super 2022, Bergson da Silva turut hilang daripada radar selepas sukar melakukan ancaman berbahaya kepada gawang gol KDN FC yang dijaga rapi Muhaimin Mohamad.
Bersambung babak kedua, JDT melakukan pertukaran pertama selepas memasukkan Muhamad Feroz Baharudin untuk menggantikan Shane Lowry.
Selang beberapa minit bintang negara, Arif Aiman Hanapi dimasukkan bagi menggantikan Oscar Arribas yang mengalami kecederaan.
Ternyata kemasukan Arif Aiman memberikan impak positif selepas hantarannya membolehkan JDT mendapatkan sepakan penalti.
Namun kecemerlangan penjaga gol KDN FC menafikan sepakan Juan Muniz sebelum pemain gantian, Romel Morales menolak masuk ke dalam gawang gol lawan untuk meletakkan JDT dua gol di hadapan pada minit ke-61.
Pada minit ke-81, Franciso Geraldes berjaya menjaringkan gol ketiga buat JDT selepas menewaskan beberapa pertahanan KDN FC.
Ternyata tuah kemasukan Arif Aiman berjaya memecahkan kebuntuan barisan serangan JDT yang mahu mencari jaringan gol.
Pada minit ke-93 permainan, Arif Aiman berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan penalti ulangan selepas Muhaimin menepis sepakan pertama sebelum dibatalkan oleh pengadil.
Keputusan kekal 4-0 sehingga wisel penamat ditiupkan oleh Mohamad Kamil sekali gus JDT mara ke pusingan suku akhir untuk menentang Malaysia Universiti yang melakukan kejutan ke atas PDRM FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram