'Semua belum', Wan Fayhsal jawab isu notis pengosongan kerusi 6 MP BERSATU


  • Politik
  • Selasa, 04 Jun 2024

Wan Fayhsal memaklumkan bahawa BERSATU masih belum menerima sebarang notis atau jawapan berhubung perkara tersebut. — Facebook

PARTI Pribumi Bersatu (BERSATU) masih belum menerima sebarang notis daripada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berhubung pengosongan kerusi enam Ahli Parlimen yang dilucutkan jawatan.

Ketua Pemuda BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pihaknya itu belum mendapat jawapan jika Speaker mahu mengekalkan kerusi enam ahli tersebut selepas melanggar disiplin parti.

'Semua belum', jawabnya ringkas kepada Majoriti.

BACA LAGI: Pertama kali berlaku, kuasa Speaker Dewan Rakyat penentu nasib kerusi 6 MP BERSATU

BACA LAGI: Nasib 7 wakil rakyat BERSATU terjawab, PRK bakal jadi penentu masa depan Umno, kerjasama Kerajaan Perpaduan

2729489

Segala keputusan untuk mengekalkan atau tidak pengosongan kerusi enam ahli tersebut adalah ditentukan oleh Speaker Dewan Rakyat.

Terdahulu, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris pula berkata, partinya akan menghantar notis kekosongan kerusi tersebut kepada Johari dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, notis kekosongan kerusi Parlimen itu bertepatan dengan pindaan ke atas Fasal 10, Perlembagaan BERSATU yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Perlucutan jawatan itu berlaku secara automatik selepas enam ahli Parlimen itu enggan mematuhi arahan supaya menyatakan ikrar taat setia kepada parti.

Enam Ahli Parlimen itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Notis pemberitahuan itu dilakukan ekoran kedudukan kumpulan tersebut yang hanya boleh ditentukan oleh Speaker mengikut undang-undang Akta Antilompat Parti, Perkara 49 (A) Perlembangaan Persekutuan.

Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan dua sebab seseorang Ahli Dewan Rakyat berhenti menjadi ahli Parlimen iaitu pertama, melibatkan tindakan wakil rakyat melepaskan keanggotaan sebagai atau tidak lagi menjadi anggota parti politik, atau calon Bebas yang bertindak menyertai parti politik sebagai ahli.

Perkara yang tidak pernah terjadi itu juga sekali gus akan menguji undang-undang antilompat parti Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram