'Saya nak ayah', penganggur lembam kaku kena dakwa rogol sepupu di Tangkak


Tertuduh (tengah) kaku dan hanya tertunduk ketika hakim bertanyakan sama ada dia memahami pertuduhan dibacakan.

"SAYA nak ayah." Itulah ayat spontan seorang penganggur ketika ditanya sama ada mengaku bersalah atau tidak di Mahkamah Sesyen Muar, Johor pada Khamis atas pertuduhan merogol sepupunya di sebuah rumah di Tangkak, dua tahun lalu.

Berdasarkan laporan media, tertuduh berusia 27 tahun yang juga lembam pelajaran turut kaku dan hanya tunduk ketika Hakim Abu Bakar Manat bertanyakan sama ada dia faham atau tidak pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dikemukakan terhadapnya.

Namun, setelah diajukan pertanyaan beberapa kali, tertuduh yang menghilangkan diri selepas kejadian itu kemudiannya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

BACA LAGI: Pemandu e-hailing cabul wanita di kedai peralatan di Selayang mengaku tak bersalah

BACA LAGI: Polis tahan doktor didakwa cabul kehormatan jururawat 19 tahun di Merlimau

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol sepupunya berusia 11 tahun ketika kejadian yang berlaku di rumah mangsa di Tangkak, sekitar September 2022.

Berdasarkan laporan polis dibuat ibu mangsa di Balai Polis Sagil pada 26 September 2022, kejadian berlaku ketika tertuduh bertandang dan bermalam di rumah mereka sebelum mangsa menceritakan insiden itu kepada seorang guru yang kemudian dimaklumkan kepada ibunya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir yang tidak menawarkan ikat jamin atas beberapa sebab, antaranya kesalahan dilakukan serius dan tidak boleh dijamin.

"Pada masa sama, tertuduh dengan mangsa mempunyai hubungan amanah dan ada kebarangkalian boleh berlaku cubaan menganggu remaja itu," hujahnya.

Mahkamah membuat keputusan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 18 Julai depan untuk serahan dokumen serta lantikan peguam tertuduh. — Buletin TV3

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram