TIDAK salah mengupah orang untuk menjaga atau menunggu di pusara bagi tujuan menjaga keselamatan, kata Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin.
Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi MARA itu berkata demikian bagi mengulas isu bungkusan kecil diikat benang seakan-akan buhul sihir yang ditemukan di atas kubur Allahyarham Tuan Guru Mohamad Yassin Muhammad.
Allahyarham Mohamad Yassin merupakan ayah kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
BACA LAGI: [VIDEO] Bakar segera sebelum melarat, mangsa ‘buhul sihir’ boleh sengsara, mimpi buruk — Agamawan
Menurut Dr Mohd Hapiz, kubur orang alim dan soleh tidak sepatutnya menjadi sasaran individu tak bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja khurafat.
"Orang yang percaya amalan khurafat suka kubur-kubur orang alim dan soleh untuk perkara-perkara syirik.
"Kita tidak tahu tujuan dia letak (buhul sihir) di kubur untuk apa. Cuma secara zahirnya perbuatan meletakkan benda-benda sedemikian di kubur biasanya untuk tujuan tidak elok.
"Tapi kalau katakan perbuatan itu dilakukan untuk ambil keberkatan. Dengan cara meletakkan bungkusan berpaku itu setahu saya itu bukan cara untuk memohon keberkatan, sepatutnya kita ziarah kubur," katanya kepada Majoriti.
Jadi, Dr Mohd Hapiz berkata, diharuskan dalam Islam jika waris mengambil inisiatif untuk menjaga kubur atau mengupah seseorang menjaga pusara berkenaan.
"Kalau kita nak tidur di kubur sahaja untul kawal keadaan sekeliling, duduk mengaji al-Quran di kubur adalah diharuskan dalam Islam.
"Tetapi kalau tidur untuk mengamalkan ilmu sesat, ilmu pelik-pelik tidak boleh kerana dosanya besar," katanya.
Bagaimanapun, Dr Mohd Hapiz yang juga AJK Fatwa Negeri Kedah berkata, mengupah seseorang untuk menjaga kubur tidak boleh menggunakan duit peninggalan si mati.
"Kena guna duit waris atau bajet daripada waris yang masih hidup," katanya.
Selain itu, Dr Mohd Hapiz berkata, waris pusara boleh mengambil inisiatif degan cara bekerjasama dengan pihak pengurusan masjid untuk memagari kawasan perkuburan.
"Dengan adanya batasan kawalan di kubur, haiwan liar atau seseorang yang berniat tidak elok tak boleh masuk sesuka hati.
"Perkara ini dapat elakkan orang tak bertanggungjawab salah gunakan kubur," katanya.
Tambahnya, jika perkara itu dilakukan dengan bertujuan untuk menghantar sihir, maka kita perlulah meminta agar ALLAH melindungi daripada sebarang kejahatan.
Sebelum ini, tular mengenai perkongsian di TikTok memaparkan bungkusan kecil berupa buhul sihir ditemukan di atas pusara Allahyarham Tuan Guru Mohamad Yassin Muhammad di Tanah Perkuburan Islam Bakri Batu 1, Muar, Johor.
Difahamkan, perkara itu diketahui ahli keluarga Allahyarham yang menziarahi pusara tersebut pada pagi Hari Raya Aidiladha. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram