[VIDEO] Lembu korban terlepas di LDP langgar kereta, perakam diminta tampil bantu siasatan


  • 112
  • Isnin, 17 Jun 2024

Insiden itu menyebabkan berlaku kemalangan dengan Perodua Myvi.

PADA Ahad, dua lembu yang terlepas di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Petaling Jaya, Selangor menyebabkan kemalangan kereta.

Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya mengesan satu video tular memaparkan dua lembu terlepas dan menyebabkan kemalangan, dalam kejadian pukul 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila lembu itu terlepas dari kawasan surau berhampiran dan masuk ke kawasan LDP berhampiran Paradigm Mall menghala ke Puchong.

BACA LAGI: [VIDEO] Salah hantar signal, 2 kereta api bertembung hingga korbankan 13 nyawa

BACA LAGI: Anak kena kudis buta sampai kuku tercabut, doktor kongsi petua elak kutu berjangkit

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati bahawa insiden itu menyebabkan berlaku kemalangan dengan Perodua Myvi.

"Bagaimanapun, kemalangan ini tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada pemandu kenderaan terbabit.

"Polis memohon perakam insiden untuk tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Petaling Jaya dan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan diteruskan mengikut Peraturan 33(1) Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

"Pihak polis ingin mengingatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan sebarang kegusaran awam serta memohon semua pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak sebarang kejadian kemalangan.

"Pihak polis tidak akan berkompromi kepada mana-mana pemandu yang memandu secara merbahaya dan akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram