BIASANYA kita dengar orang tua-tua kata kalau tapak tangan berasa gatal, itu petanda kita bakal menerima duit daripada seseorang.
Namun, jangan mudah gembira kerana gatal di tapak tangan sebenarnya boleh menjadi petanda awal kepada penyakit kulit iaitu kudis buta.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook, seorang ibu, Nanie Beela K meluahkan rasa bimbangnya apabila melihat bayi yang dilahirkan mengalami masalah kudis buta.
BACA LAGI: Anak trauma lihat ibu kena ikat waktu kecil, kongsi cara jaga pesakit bipolar sampai sembuh
BACA LAGI: Lelaki patah tulang paling keras dalam badan ketika batuk akibat kerap minum air berkarbonat
Kudis buta atau scabies merupakan sejenis penyakit kulit yang mudah berjangkit.
Nanie berkata, bayinya mengalami masalah kudis buta di bahagian tangan sehingga menyebabkan jari jemarinya berdarah.
"Kudis buta sampai kuku adik tercabut, Ya ALLAH sakitnya anakku," tulisnya.
Hantaran yang dibuat menyebabkan ramai ibu bapa lain bimbang tentang penyakit itu.
Tampil menjelaskan hal itu, doktor perubatan terkenal, Dr Ahmad Samhan Awang berkata, kudis buta atau skabies adalah keadaan kegatalan pada kulit yang disebabkan oleh gigitan kutu Sarcoptes scabiei.
"Jika dilihat melalui mikroskop, kutu ini berbadan bulat dan ada lapan kaki," katanya.
Lebih menakutkan, Dr Samhan berkata, kutu itu akan memasuki ke dalam kulit seseorang untuk bertelur sebelum mati.
Selepas itu, telur yang berada dalam tubuh pesakit akan menetas dan menjadi kutu.
"Kutu ini boleh hidup pada kulit dan menyebabkan kegatalan yang amat sangat," katanya.
Kudis buta biasanya melibatkan kawasan celah kulit seperti jari tangan, kaki, ketiak, pusat, kawasan pinggang, kemaluan dan celah paha.
"Ia sangat jarang melibatkan muka dan kepala," katanya.
Cara jangkitan
Kudis buta boleh berjangkit melalui sentuhan kulit yang dibuat bersama individu yang miliki masalah kudis.
Dr Samhan berkata, kutu itu sangat mudah berjangkit melalui sentuhan secara terus dengan kulit seseorang yang mengalami kudis buta.
"Kutu ini hidup pada permukaan kulit. Ia boleh jatuh pada tuala, selimut, baju atau cadar yang diguna pesakit kudis buta dan boleh hidup selama tiga hari dan kemudiannya akan mati," katanya.
Tambahnya, jangkitan kudis buta boleh berlaku di tempat-tempat awam yang kebiasaannya menjadi tempat berinteraksi antara satu sama lain.
"Contoh berjangkit dekat taska, tadika, sekolah, asrama dan pusat penjagaan," katanya.
Bentuk rawatan
Terdapat banyak rawatan yang boleh digunakan kepada pesakit kudis buta.
"Antaranya adalah dengan menggunakan losyen antiscabies dan losyen permethrin 5 peratus," katanya.
Mengulas lanjut, Dr Samhan berkata, losyen permethrin 5 peratus sesuai digunakan kanak-kanak dua bulan ke atas dan wanita mengandung.
Menurutnya, pesakit juga boleh menggunakan emulsi Benzyl Benzoate (EBB) 25 peratus sebagai alternatif.
"Krim ini sesuai untuk disapukan lalu dibiarkan selama 24 jam di kulit," katanya.
Sekiranya losyen permethrin dan Benzyl Benzoate gagal merawat kudis buta, seseorang perlulah menggunakan losyen lindane 1 peratus.
"Sapu dari bahagian leher hingga ke tapak kaki. Biarkan pada kulit lapan hingga 12 jam, kemudian mandi," katanya.
Suhu air memainkan untuk membunuh kutu yang mengakibatkan kudis buta. — Gambar hiasan
Terdapat beberapa perkara yang perlu dielakkan bagi mencegah penyakit kudis buta.
Antaranya, Dr Samhan berkata, seseorang perlulah mengelak daripada berkongsi barangan yang sama dengan individu lain.
Ini kerana, kutu kudis boleh merebak melalui perkongsian barangan peribadi seperti tuala, cadar, selimut dan pakaian.
Malah, kutu kudis juga mampu merebak melalui patung permainan kanak-kanak dan sesetengah alatan perabot.
Jika anak mereka sudah dijangkiti, ibu bapa dinasihati agar tidak menghantar anak mereka ke sekolah atau tempat asuhan sehinggalah selesai rawatan dibuat.
"Semua ahli keluarga perlu dirawat pada masa yang sama, tidak kira sama ada mereka ada rasa gatal atau tidak.
"Basuh semua pakaian dengan air panas pada suhu 60 darjah Celsius," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram