[VIDEO] Salah hantar signal, 2 kereta api bertembung hingga korbankan 13 nyawa


  • Benua
  • Isnin, 30 Okt 2023

Pasukan penyelamat dan pegawai polis berdiri di sebelah koc yang rosak berikutan terjadi perlanggaran antara dua kereta api di India.

SEKURANG-KURANGNYA 13 maut manakala 50 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta api yang bertembung di tenggara India pada Ahad.

Nahas itu menyebabkan kereta api tergelincir di daerah Vizianagaram, wilayah Andhra Pradesh, lapor Press Trust of India.

Ketua Pegawai Perhubungan Awam Kereta Api Pantai Timur, Biswajit Sahu berkata, punca insiden ini terjadi adalah apabila salah satu kereta api tersalah menghantar isyarat kepada kereta api yang lain.

"Seharusnya kereta api berhenti di lampu merah tetapi kenderaan itu terus bergerak apabila menerima isyarat yang salah.

"Kesilapan manusia, tersilap memberi isyarat kepada kereta api Visakhapatnam - Rayagada," katanya.

Ketua Menteri Andhra Pradesh, YS Jagan Mohan Reddy meminta pihak berkuasa menghantar sebanyak mungkin ambulans ke lokasi nahas dan mengarahkan langkah bantuan lain.

Beberapa pasukan penyelamat dan penduduk masih berusaha untuk mengeluarkan penumpang yang cedera dari serpihan kereta api di kawasan terbabit.

Pada Isnin, jurucakap polis Vizianagaram, Superintendan M Deepika berkata, jumlah mangsa meningkat kepada 13 orang meninggal dunia dan 50 lagi cedera dalam kejadian itu.

India mempunyai satu rangkaian rel terbesar di dunia dan mengalami beberapa bencana sejak beberapa tahun lalu, yang paling teruk pada 1981 apabila sebuah kereta api tergelincir semasa menyeberangi jambatan di negeri Bihar dan terjunam ke dalam sungai di bawah, mengorbankan kira-kira 800 orang.

Pada bulan Jun, perlanggaran tiga kereta api mengorbankan hampir 300 orang di Odisha.

Pada Ogos lalu, sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh apabila sebuah koc yang diletakkan di selatan India terbakar ketika seorang penumpang cuba membuat teh. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram