Guru wanita mengaku Imam Mahdi ada rekod rawatan psikiatri — Polis Jerantut


  • 112
  • Rabu, 22 Mei 2024

Seorang guru wanita di Jerantut, Pahang mengaku sebagai Imam Mahdi menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Selasa. — Facebook

POLIS menyiasat mengenai dakwaan seorang guru wanita di Jerantut, Pahang yang mengaku sebagai Imam Mahdi menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Selasa.

Hantaran itu kemudian menjadi tular selepas dikongsi oleh seorang lagi pengguna, Nor Farizan di platform yang sama sebelum dia memadamkan perkongsian tersebut.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad berkata, siasatan awal mendapati guru wanita berusia 34 tahun itu bertugas di sebuah sekolah rendah di Jerantut.

BACA LAGI: Kubur suspek serang Balai Polis Ulu Tiram dijarakkan bukan untuk hina si mati

BACA LAGI: Ajaran sesat: Pantau anak-anak elak ideologi sekularisme, solat tetapi berzina

WhatsApp Image 2024-05-22 at 5.29.42 PM

Guru terbabit difahamkan bertugas di sebuah sekolah rendah yang terletak di Jerantut, Pahang.

Menurutnya, guru terbabit sudah berkahwin dan pernah mendapat rawatan psikiatri di sebuah hospital di Kelantan sejak Disember tahun lepas.

"Suspek memiliki tiga cahaya mata dan tinggal berjauhan daripada suaminya yang bertugas di ibu kota.

"Suspek menghantar beberapa hantaran melibatkan pengakuan bahawa dirinya adalah Imam Mahdi," kata beliau dalam kenyataan pada Rabu.

Zukri berkata, suspek juga mengaku tidak memiliki sebarang rujukan atau belajar daripada mana-mana guru agama atau orang perseorangan.

Selain itu, wanita berkenaan juga beranggapan bahawa dirinya merupakan individu terpilih untuk memiliki 'Ilmu ALLAH' dan diangkat darjat kerana memiliki sifat yang jujur.

Jelas beliau, suspek masih menerima rawatan di unit psikiatri buat masa ini dan pemantauan serta siasatan lanjut diteruskan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram