SERANGAN asid yang berlaku terhadap penyerang skuad kebangsaan, Faisal Halim menimbulkan rasa pilu buat seluruh peminat bola sepak.
Apatah lagi, pelaku yang berbuat sedemikian masih belum dapat ditangkap.
Menerusi media sosial, ramai mendoakan agar Faisal mendapat kesejahteraan dan diberikan kesembuhan segera supaya boleh kembali beraksi di atas padang.
BACA LAGI: CEO program agama tawar diri lepas Ustaz Don direhatkan terus, KP RTM nasihat jangan 'play victim'
Terdapat juga seorang pengguna, Baney yang melontarkan doa laknat buat pelaku agar menerima balasan atas kelakuannya yang amat tidak berperikemanusiaan.
"Semoga mereka yang mengkhianati Faizal Halim akan dilaknat Tuhan didunia dan akhirat serta disusahkan ketika saat sakaratul maut," tulisnya.
Bercakap soal itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor tampil menjelaskan hukum mendoakan seseorang terkena laknat.
"Seseorang yang dizalimi atau terkena zalim diharuskan membalas kezaliman terhadap orang yang menzaliminya tetapi tidak melebihi kadar kezaliman yang dilakukan ke atas dirinya," katanya kepada Majoriti.
Wan Salim berkata, dengan memberi kemaafan diharapkan dapat menimbulkan keinsafan dan penyesalan kepada pelaku.
"Namun, jika kemaafan menambahkan lagi kezaliman orang tertentu, maka diharuskan orang yang terkena zalim membalas kezaliman setimpal dengan kezaliman yang dialami," katanya.
Meskipun begitu, Wan Salim berkata, mendoakan pelaku dilaknat secara spesifik adalah dilarang di sisi Islam.
"Sebaiknya doakanlah agar pelaku kezaliman diberi petunjuk kepada kebaikan," katanya.
Wan Salim turut memberi kata-kata semangat kepada pemain sayap Selangor FC itu agar dapat menempuh cabaran yang dialami dengan bersabar.
"Yakinlah bahawa nikmat yang besar di akhirat kelak disediakan ALLAH untuk orang yang bersabar seperti janji-Nya di beberapa ayat al-Quran. Sesungguhnya ALLAH SWT tidak memungkiri janji.
"Anggapkan apa yang terjadi itu sebagai ujian daripada ALLAH ke atas hambanya.
"Mudah-mudahan ALLAH SWT akan mengurniakan pahala yang besar kepada beliau kerana kesabarannya dalam menghadapi ujian tersebut," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram