MAJLIS Daerah Sik (MDS) menafikan dakwaan berlakunya perlanggaran integriti dalam pemilihan calon bagi mengisi kekosongan jawatan yang dibuka di pejabatnya.
Ia selepas tular beberapa komen di ruangan pengiklanan kerja kosong oleh MDS dimuat naik di sebuah Group Facebook menuduh majlis daerah berkenaan mengamalkan pengambilan kroni untuk memenuhi jawatan kosong yang diiklankan.
"Kenyataan yang diutarakan warganet melalui perkongsian laman sosial ‘Facebook’ milik Wan Husna Wan Kadir pada 16 Mei 2024 (Khamis) adalah tidak benar. Pemilihan calon untuk mengisi jawatan kosong di Majlis Daerah Sik adalah berdasarkan kelayakan yang ditetapkan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia," menurut MDS dalam satu kenyataan kepada Majoriti.
BACA LAGI: Dua reformasi pilihan raya lebih mendesak berbanding isu pelantikan ahli, Pengerusi SPR
BACA LAGI: Iklan kerja kosong PBT terima kecaman, ramai anggap sekadar wayang padahal dah ada calon kabel
Tangkap layar hantaran iklan kerja kosong yang tular dan menerima reaksi negatif daripada warganet.
Dalam pada itu, majlis daerah berkenaan menyatakan pihaknya turut mengambil beberapa langkah untuk memastikan proses pemilihan bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut dilakukan secara telus.
Ia antara lain dengan melantik panel temu duga terdiri daripada Ketua Jabatan (Pihak Berkuasa Melantik), Ahli Majlis dan wakil Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah daripada Bahagian Sumber Manusia.
"Calon-calon yang terpilih perlu menghadiri ujian fizikal atau ujian bertulis berdasarkan jawatan yang dimohon bagi melayakkan calon disenarai pendek ke sesi temu duga.
"Setelah selesai sesi temu duga senarai nama calon yang terpilih akan dihantar untuk tapisan daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Calon yang berjaya adalah tertakluk daripada keputusan tersebut," jelas kenyataan itu lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram