AADK nafi dakwaan langgar SOP penahanan, suspek tolak pegawai, cuba larikan diri 2 kali


  • Primer
  • Rabu, 12 Jun 2024

Terdahulu, seorang pengguna di laman X mendakwa adik lelakinya ditahan tanpa mengikut SOP penahanan di bawah Seksyen 3 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

AGENSI Antidadah Kebangsaan (AADK) menafikan dakwaan yang menuduh pegawai agensi terbabit melakukan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika menahan seorang individu di Kuala Lumpur pada Selasa.

Dalam satu kenyataan, AADK memaklumkan kejadian terbabit berlaku sekitar pukul 6 petang dalam satu operasi Op Pengesanan Perdana yang dilaksanakan AADK Daerah Cheras atas maklumat penagihan dan aktiviti penagihan penyalahgunaan dadah di Jalan Jejaka 4, Taman Maluri.

"Dalam tindakan pengesanan Orang Yang Disyaki (OYDS) di kawasan itu, AADK Daerah Cheras telah menahan seorang individu diklasifikasikan sebagai OYDS dengan SOP yang betul iaitu memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa AADK.

BACA LAGI: Nasib 6 MP BERSATU: Tak mustahil diterima kembali jadi calon, singkap sejarah Umno terima semula ahli parti

BACA LAGI: 'MP BERSATU berpaling tadah dihentikan keahlian, bukan lucut' — Saifuddin

"Pun begitu, ketika penahanan OYDS itu dilakukan, terdapat seseorang berada di lokasi yang sama dalam keadaan yang mencurigakan dan apabila pegawai AADK cuba mendekati individu tersebut dan memperkenalkan diri sebagai pegawai AADK. Dia bagaimanapun bertindak melarikan diri.

"Tindakan itu menimbulkan kecurigaan yang munasabah sehingga membawa kepada penangkapan individu berkenaan," menurut kenyataan itu.

Selepas kedua-dua individu terbabit ditahan, AADK memaklumkan pegawainya telah mempamerkan sekali lagi kad kuasa.

Bagaimanapun, ketika semakan dalam sistem MyAADK dibuat, seorang daripada individu tersebut telah menolak seorang pegawai AADK bagi cubaan melarikan diri buat kali kedua.

"Tindakan itu membawa kepada penahanannya dan di bawa ke Pejabat AADK Daerah Cheras untuk tindakan dokumentasi dan ujian-ujian tertentu bagi mengenal pasti sama ada penagih ataupun tidak.

"Selepas urusan dokumentasi dan keputusan ujian saringan awal air kencing mendapati seorang daripadanya negatif, individu itu dibebaskan," ujarnya.

Kenyataan itu memaklumkan, AADK mengakui tindakan dokumentasi telah mengambil masa tertentu disebabkan jumlah bilangan tangkapan dibuat pada kadar yang ramai.

Bagaimanapun, ia menegaskan proses penahanan individu tersebut adalah tidak melebih tempoh 24 jam dan masih mematuhi SOP yang ditetapkan dalam APD (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

"AADK mengambil serius berkenaan tata kelola pegawai dan akan lebih berhati-hati ketika menjalankan tugas," katanya.

Terdahulu, seorang pengguna di laman X mendakwa adik lelakinya ditahan tanpa mengikut SOP penahanan di bawah Seksyen 3 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Menerusi perkongsian dibuat, adiknya itu juga dilaporkan mengalami kecederaan calar di bahagian pergelangan tangan selepas tangannya digari oleh pegawai terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram