SEBUT sahaja nama Huzz pastinya ramai artis mengenali sosok wartawan hiburan veteran itu.
Manakan tidak, bekas Pengarang URTV itu cukup terkenal dengan penulisannya mengenai kisah dan gosip-gosip artis dalam dunia hiburan.
Figura itu juga cukup dekat dan rapat dengan artis termasuklah penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza. Jadi tidak hairanlah jika penulisannya dalam surat khabar sering dinanti-nanti orang ramai untuk mengetahui perkembangan terkini dunia hiburan tanah air.
BACA LAGI: Wartawan hiburan veteran, Huzz meninggal dunia akibat kanser usus
Kamal Huzaini Kamaludin melambai ke arah bekas wartawan, Rosli Manah seolah-olah sudah tahu akan pergi meninggalkan kita.
Berita mengenai pemergian Allahyarham Huzz atau nama sebenarnya Kamal Huzaini Kamaludin pada Sabtu pastinya menimbulkan rasa sayu di hati banyak pihak terutama kenalan rapat.
Menerusi satu hantaran di Facebook, bekas Pengarang Utusan Malaysia, Normala Hazmah menyifatkan Allahyarham Huzz sebagai seorang yang baik dan menghormati orang tua.
"Anak yang baik, murah dengan senyuman dan hormat orang tua," tulisnya.
Normala Hamzah turut memuji kemampuan menulis Huzz dalam hal hiburan yang dilihat sangat menyerlah.
"Komited dan sentiasa mahukan yang terbaik dalam tulisannya.
"Saya pasti semua orang tahu tentang keistimewaannya itu," katanya.
Tidak hanya itu, beliau senangi para artis sehingga ramai datang menziarahinya ketika berada di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur sejak Mac lepas.
Selain Siti Nurhaliza, yang turut hadir melawat ialah Datuk Rosyam Nor, Ziana Zain, Haiza, Ramlah Ram, Ogy Ahmad Daud, Misha Omar, Datin Sofea Jane, Vanidah Imran dan Erra Fazira.
"Wartawan yang menjadi kepercayaan artis. Arwah figura yang menyenangkan dalam industri hiburan negara," katanya.
Selain itu, Huzz juga bersifat ringan tulang iaitu sering membantu di dapur ketika berada di rumahnya.
"Huzz sangat mengambil berat apabila bab menjamu tetamu. Arwah akan segera ke dapur untuk menyediakan minuman tanpa disuruh jika ada tetamu datang.
"Sering diajukan soalan seperti kak Mala nak minum apa... ceq (saya) buatkan dengan diiring senyum yang manis lagi mesra. Itulah arwah... budi bahasa sangat dijaga," katanya.
Setiausaha Politik Anwar, Ahmad Farhan Fauzi melawat wartawan Huzz pada 22 Mei lepas.
Tambahnya, Huzz memiliki sifat penyayang yang sangat mengagumi ibunya.
"Bila kami duduk bersembang nama maknya selalu disebut. Che Ton itu. Che Ton ini, rindunya Che Ton.
"Majlis hari lahir mak kesayangan juga tak pernah dilupakan.
"Ini kerana Huzz duduk berasingan dengan ibunya tetapi sering menziarahi ibunya," katanya.
Selain itu, bekas wartawan, Rosli Manah berkata, rakaman yang diambilnya semasa menziarahi arwah di hospital seolah-olah mahu mengucapkan selamat tinggal.
"Kami sama batch masuk Kumpulan Utusan. Saya sebagai wartawan fresh dan arwah sebagai wartawan berpengalaman di media lain sebelum itu," katanya.
Rosli Manah turut berdoa agar Allahyarham Huzz dikelilingi orang yang beriman.
"Selamat kembali ke negeri abadi sahabatku Kamal Huzzaini Kamaluddin," katanya.
Allahyarham Huzz sebelum ini pernah bertugas sebagai Pengarang majalah URTV di Utusan Karya Sdn Bhd dan turut popular menerusi ruangan gosip Sensasi Huzz dalam sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia.
Jenazah Allahyarham Huzz selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Berpusat daerah Seberang Perai Utara di Permatang Langsat, Pulau Pinang pada Sabtu malam.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Abdullah Fahim untuk dimandi dan dikafankan diikuti solat jenazah selepas solat isyak, sebelum dikebumikan pada kira-kira 9.45 malam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram