SIAPA sangka pergaduhan melibatkan dua lelaki tempatan di sebuah kedai runcit di Seberang Jaya, Pulau Pinang yang tular baru-baru ini pernah mempunyai sengketa lama pada 13 tahun lalu.
Menerusi satu video penjelasan pada laman Tiktok, salah seorang individu terbabit iaitu lelaki yang memakai singlet putih ketika kejadian itu tampil menceritakan situasi sebenar.
Memandangkan penjelasan tersebut dilakukan di dalam bahasa Tamil, tinjauan di ruangan komen mendapati ramai masyarakat India tampil membantu menterjemahkan kenyataan lelaki itu.
BACA LAGI: [VIDEO] Dua lelaki ditahan lepas gaduh 'gentlemen' gara-gara minuman keras
BACA LAGI: [VIDEO] Perselisihan faham punca 7 dicekup bergaduh dekat premis hiburan di Skudai
Lelaki yang kini dipanggil 'Anne' dalam kalangan warganet itu menceritakan bahawa dia dan pemilik kedai runcit itu pernah terlibat dalam pergaduhan pada 13 tahun lalu namun isu berkenaan sudah lama diselesaikan.
Tambahnya, pergaduhan tular baru-baru ini itu tercetus apabila dia tidak berpuas hati dengan layanan pemilik kedai yang agak biadab sehingga membawa kepada pertikaman lidah, dan akhirnya perbalahan fizikal secara 'satu lawan satu' berlaku.
Menurut warganet yang membantu mengterjemahkan penjelasannya, lelaki India itu akui keadaannya yang mabuk mengakibatkan dia tidak dapat mengawal keadaan sedangkan dia mempunyai ilmu seni mempertahankan diri iaitu pengiktirafan tali pinggang hitam dalam karate.
Dalam video sama, lelaki dalam lingkungan umur 30-an itu juga sempat membuat permohonan maaf terutamanya kepada masyarakat Tamil yang mungkin terkena tempias di atas ketelanjurannya.
Selepas video penjelasan tersebut, lelaki berkenaan kembali menjadi topik dibincangkan warganet apabila dia dilihat sedang gigih berlatih karate sehingga diduga ingin menyambung perselisihan yang belum selesai.
Menerusi ruangan komen video latihan itu, ramai warganet menyarankan agar lelaki tersebut melupakan sengketa dan lebih baik bersemuka dengan pemilik kedai untuk meminta maaf.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris dilaporkan berkata, pihaknya sudah mengesan video tular terbabit dan menahan dua lelaki tempatan yang terlibat pada Khamis (6 Jun 2024).
Helmi berkata, hasil siasatan mendapati kejadian terbabit berlaku pada Isnin (3 Jun 2024) lalu, kira-kira pukul 11.50 malam.
"Semasa kejadian, pengadu yang bekerja sebagai jurujual di premis tersebut telah didatangi dua lelaki warga tempatan apabila salah seorang pelanggan telah meminta kepada jurujual untuk mengambil minuman keras.
"Semasa itu telah berlaku perselisihan faham dan tumbuk-menumbuk di antara kedua-dua individu sehinggakan salah seorang daripada mereka telah memukul belakang dengan menggunakan helmet di luar premis berkenaan," katanya pada Jumaat.
Katanya, salah seorang individu yang terlibat mengalami sedikit kecederaan pada muka, manakala seorang lagi tiada mengalami kecederaan.
Beliau menambah, pihaknya juga menahan kedua-dua individu berusia 30-an dan 40-an bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 342 dan 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram