'Mereka tidak menguntungkan', peluang MP Bersatu berpaling tadah dicalonkan semula jika PRK diadakan sangat tipis


  • Politik
  • Ahad, 09 Jun 2024

Mohammad Tawfik berkata, peluang untuk kesemua wakil rakyat terbabit dicalonkan semula sangat tipis memandangkan imej pengkhianatan yang terpalit dengan mereka. — Gambar hiasan

ENAM ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang statusnya kini menjadi tanda tanya mempunyai potensi sangat rendah untuk dicalonkan semula sekiranya pilihan raya kecil (PRK) terpaksa diadakan akibat kekosongan di kerusi yang disandang mereka.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (UM) Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, beliau yakin sekiranya kekosongan tersebut benar-benar berlaku, peluang untuk wakil rakyat terbabit dicalonkan termasuk bagi mewakili Kerajaan Perpaduan adalah agak tipis.

"Ini kerana wakil rakyat terlibat dilihat tidak menguntungkan Kerajaan Perpaduan sama ada hari ini ataupun selepas PRK selepas mengambil kira kedudukan Kerajaan Persekutuan yang telah mempunyai lebih majoriti kukuh di Parlimen.

"Malah kerajaan Perpaduan juga memiliki ahli dan pemimpin jauh lebih layak berbanding wakil rakyat ini.

"Pada masa sama, penyandang juga ada yang telah meninggalkan parti Umno sebelumnya dan menyertai BERSATU. Maka saya lihat sukar untuk mereka dicalonkan oleh mana-mana parti komponen kerajaan Perpaduan," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Membazir RM36 juta duit rakyat jika 6 PRK Parlimen diadakan

BACA LAGI: [VIDEO] Pertama kali berlaku, kuasa Speaker Dewan Rakyat penentu nasib kerusi 6 MP BERSATU

Nasib enam ahli Parlimen BERSATU yang berpaling tadah menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menjadi tanda tanya selepas keahlian mereka dilapor digugurkan serta-merta akibat gagal untuk mengikut arahan parti.

BERSATU sebelum itu dilaporkan memberikan surat arahan kepada semua wakil rakyatnya untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti.

Enam Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang).

2729491

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris

Susulan daripada itu, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris pada Isnin berkata, partinya akan menghantar notis kekosongan kerusi tersebut kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam tempoh terdekat.

Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik berkata, peluang untuk kesemua wakil rakyat terbabit dicalonkan semula sangat tipis memandangkan imej pengkhianatan yang terpalit dengan mereka.

"Ia sekali gus akan menjadi beban kepada Kerajaan Perpaduan sekiranya dicalonkan oleh gabungan berkenaan. Jika bertanding secara Bebas pun penyandang sukar menang kembali.

"Dalam sejarah politik di Semenanjung, sejak merdeka, hanya seorang calon Bebas saja semenjak berjaya menang dalam PRK iaitu Tan Sri Shahrir Samad di Johor.

"Jadi potensi calon Bebas untuk menang dalam perkembangan politik Semenanjung tipis malah dianggap pengacau atau 'calon nyamuk' saja," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai tindakan wajar diambil oleh enam ahli Parlimen terbabit ketika ini, Mohamad Tawfik berkata, mereka tidak seharusnya terburu-buru dalam tindakannya dan terlebih dahulu menunggu pemakluman parti kepada Speaker Dewan Rakyat.

"Tindakan perlu dilakukan dengan cermat oleh semua pihak pada waktu ini kerana sekiranya wakil rakyat berkenaan mengosongkan kerusi secara rela tetapi kemudiannya Speaker mengumumkan tiada kekosongan berdasarkan Perkara 49A, maka wakil-wakil rakyat berkenaan sendiri telah 'menamatkan riwayat politik' dengan sendirinya.

"Oleh demikian, wakil rakyat terlibat perlu berhati-hati, cermat dan menunggu proses penyerahan pemakluman daripada parti kepada Speaker selesai dan Speaker kemudiannya memutuskan status berdasarkan Perlembagaan," katanya.

Menurut Mohamad Tawfik, situasi semasa ketika ini memerlukan kepada pentafsiran Perlembagaan Persekutuan yang cermat dan tepat bagi mengelakkan berlakunya krisis Perlembagaan.

"Perkembangan ini melibatkan tafsiran Perlembagaan yang cermat dan tepat kerana pada waktu yang sama dua Ahli Parlimen dari Kelantan iaitu Jeli dan Gua Musang bertanding atas simbol bulan parti PAS dalam PRU 15 lalu.

"Situasi ini juga memerlukan tafsiran Perlembagaan yang jelas bagi mengelakkan krisis Perlembagaan kerana kali pertama berlaku dalam sejarah politik negara," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram