Inisiatif kecil tapi impak tinggi buat masyarakat, Star Golden Hearts Award raikan wira tidak didendang Malaysia


  • Massa
  • Jumaat, 02 Jun 2023

SGHA kini memasuki tahun kesembilan penganjurannya dalam menghargai wira tidak didendang yang wujud dalam kalangan rakyat Malaysia.

CABARAN semasa dihadapi di seluruh dunia ketika ini benar-benar memberikan kesan kepada semua kumpulan masyarakat.

Namun begitu, di sebalik peristiwa yang berlaku, terdapat kebaikan-kebaikan kecil turut berlaku sehingga menjadikan dunia mampu terus menjadi tempat lebih baik untuk didiami.

Di Malaysia, kita sering kali dihidangkan dengan kisah-kisah wira tidak didendang yang wujud dalam masyarakat.

Kehadiran kumpulan tersebut juga terbukti melalui anugerah Star Golden Hearts Award (SGHA) yang sudah dijalankan selama hampir sedekad.

Mencapai usia kesembilan penganjurannya, anugerah tahunan itu merupakan usaha bersama The Star dan Yayasan Gamuda bagi meraikan individu yang memberikan impak positif terhadap masyarakat dan dunia di samping mempromosikan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Orang awam kini turut boleh melahirkan penghargaan dan memberi semangat kepada wira yang muncul dalam kehidupan seharian dengan mencalonkan mereka untuk anugerah ini.

Pada tahun ini, penerima anugerah berpeluang menerima penghargaan lebih besar dengan peningkatan nilai hadiah kemenangan.

Seramai sepuluh pemenang akan dipilih dan masing-masing bakal menerima wang tunai RM15,000, di samping publisiti media eksklusif merentas pelbagai platform Kumpulan Media Star bagi menyebarkan lagi usaha mereka.

Kesemua pemenang terbabit juga akan berpeluang memenangi Anugerah Inspirasi Gamuda (GIA) dengan geran tambahan bernilai RM50,000.

Ketua Pegawai Kandungan Kumpulan Media Star (SMG), Esther Ng menegaskan, SGHA komited untuk terus menyokong mereka yang memperjuangkan perubahan dan memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat.

"Kami percaya dengan peranan penting dimainkan kumpulan ini dalam membentuk sebuah negara melalui kebaikan dan sikap murah hati mereka.

"Oleh itu, sebagai sebuah organisasi media, kami amat berbesar hati memberikan publisiti lebih luas untuk membantu meneruskan tujuan baik mereka," kongsinya.

Mengambil contoh daripada pemenang SGHA pada tahun sebelumnya, Ng melahirkan pujian kepada rakyat Malaysia yang disifatkan sebagai kreatif dan inovatif apabila menyentuh mengenai usaha melaksanakan perubahan dalam masyarakat.

"Kami tahu ada ramai lagi wira seumpama itu di luar sana menunggu untuk ditemui, kerana itu kami menyeru orang ramai untuk membantu mencalonkan mereka bagi anugerah ini," katanya.

Esther

Ketua Pegawai Kandungan SMG, Esther Ng.

Ng percaya bahawa The Star mampu membantu rakyat Malaysia yang memiliki azam bagi mencapai matlamat mereka demi kebaikan bersama.

"Adalah sesuatu yang tidak ternilai apabila mengetahui bagaimana pemenang sebelum ini mendapat perhatian lebih meluas dan sokongan padu daripada orang ramai selepas memenangi anugerah ini dan mendapat pendedahan dalam liputan.

“Dengan berbuat demikian, kami turut berharap dapat memberi inspirasi dan memperkasakan lagi lebih ramai rakyat Malaysia untuk mengambil apa sahaja inisiatif walaupun kecil bagi mencapai impak besar dan mencipta masa depan lebih cerah bersama-sama.

"Ini adalah salah satu cara kami memenuhi tanggungjawab sebagai sebuah organisasi media. Bersama-sama rakan kongsi Yayasan Gamuda, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk membuat perubahan mengikut cara mereka sendiri," tambahnya.

Dengan Yayasan Gamuda menjadi sebahagian daripada anugerah ini untuk tahun kelapan berturut-turut, Ketuanya, Ts Lim Hui Yan berkata, perkongsian jangka panjang bersama SMG berjaya memperkasakan usaha sosial bagi memudahkan pembinaan komuniti untuk kebaikan rakyat dan planet bumi.

"Sebagai pemain serantau, kami komited untuk mencipta impak positif, dan setakat ini, kami berbangga kerana telah menyokong lebih 70 pembuat perubahan luar biasa dalam memperkasakan lagi usaha transformasi masyarakat dan alam sekitar," kata Lim.

Selama bertahun-tahun, Yayasan Gamuda menyaksikan usaha luar biasa daripada pemenang Anugerah Inspirasi Gamuda, seperti Iskul Sama diLaut Omadal pada 2022 yang memperjuangkan masyarakat lebih inklusif.

SGHA_Infographic_BM_digital_500X540

Orang awam turut boleh melahirkan penghargaan dan memberi semangat kepada wira yang muncul dalam kehidupan seharian dengan mencalonkan mereka untuk anugerah ini.

Sumbangan cemerlang setiap pemenang menjadi rangka tindakan untuk dunia yang lebih adil dan progresif di mana tiada mana-mana individu akan ditinggalkan.

Sehubungan itu, panel penilai SGHA tahun ini diperluaskan kepada mereka yang pakar dalam bidang alam sekitar, hidupan liar dan keusahawanan sosial.

Peningkatan dalam pendekatan holistik dilaksanakan ini bakal membolehkan SGHA membina rangkaian pembuat perubahan lebih kukuh khususnya dalam memacu perubahan sosial yang progresif.

Pada 2016, Gamuda yang baru sahaja memulakan perjalanan SGHA bersama The Star menyediakan geran GIA adalah bernilai RM50,000.

Bagaimanapun, memandangkan jurang sosio-ekonomi yang semakin meluas dan keperluan mendesak, geran tersebut ditingkatkan kepada RM120,000.

Orang ramai boleh mencalonkan mereka disifatkan sebagai pembuat perubahan yang memenuhi kriteria pemilihan digariskan di www.sgha.com.my sehingga 31 Julai ini.

Penama boleh dicalonkan bagi pelbagai kategori termasuk pendidikan, alam sekitar dan hidupan liar, kebajikan sosial serta banyak lagi kategori.

SGHA yang disokong oleh Star Foundation, SMG bertujuan untuk menyampaikan inisiatif bermakna dengan hasil berkekalan kepada kumpulan penerima yang pelbagai.

Pemilihan pemimpin dalam sektor sosial sebagai sebahagian daripada panel penilai SGHA

Bagi penganjuran SGHA yang memasuki tahun kesembilan kali ini, Tan Sri Lee Lam Thye akan terus menjadi ketua hakim bagi panel terdiri daripada pemimpin sektor sosial dan pakar dalam bidang masing-masing.

Lam Thye yang juga Pengerusi Alliance For A Safe Community berkata, beliau berharap anugerah itu akan terus menemukan pembuat perubahan yang layak di mana kisah mereka bakal mencetuskan inspirasi ke arah perubahan positif dalam komuniti.

"Tahun demi tahun, SGHA berkembang lebih maju dan kukuh. Ia berjaya mengiktiraf wira yang tidak didendang dan melambangkan semangat perpaduan negara, daripada altruis yang tidak mementingkan diri kepada mereka yang mempunyai inisiatif mampan untuk mengubah hidup.

"Rakan-rakan penilai dan saya sendiri berharap dapat menemui lebih ramai pembuat perubahan yang berupaya memberikan perubahan positif dalam komuniti mereka," katanya.

Dengan menyifatkan kumpulan pembuat perubahan sebagai asas penting dalam masyarakat, Lam Thye turut menyeru semua rakyat Malaysia agar mencalonkan wira yang layak bagi diberi penghormatan sewajarnya atas sumbangan mereka yang luar biasa.

Calon akan menjalani proses pemilihan ketat termasuk tapisan, penyenaraian pendek dan penghakiman oleh panel penilai.

Panel pada tahun ini memperlihatkan penambahan tiga hakim baharu yang pakar dalam bidang alam sekitar, hidupan liar dan keusahawanan sosial.

Lam Thye

Ketua hakim SGHA yang juga Pengerusi Alliance For A Safe Community, Tan Sri Lee Lam Thye.

Ahli panel baharu iaitu Shah Redza Hussein merupakan pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak dan tokoh yang mempunyai kepakaran dalam pemuliharaan selama lebih 25 tahun.

Selama bertahun-tahun, beliau terlibat secara aktif dalam pelbagai kerja NGO terutamanya membabitkan usaha pemuliharaan, perlindungan alam sekitar, pembangunan komuniti orang asli dan banyak lagi.

Seorang lagi panel baharu ditampilkan ialah ahli alam sekitar, pemuliharaan dan pendidik terkenal, Irshad Mobarak yang pernah muncul dalam beberapa dokumentari alam sekitar dan hidupan liar antarabangsa.

Beliau juga memainkan peranan sebagai perunding, penasihat dan kurator untuk beberapa pusat peranginan dan pemaju hartanah dalam aspek membabitkan pemuliharaan alam semula jadi dan hidupan liar.

Sementara itu panel baharu ketiga pula ialah Muhammad Hafizul Khair Mohd Yusuf yang merupakan pengurus unit perusahaan sosial Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) yang berpengalaman luas dalam bidang keusahawanan sosial (SE) Malaysia.

Beliau pernah berkhidmat sebagai salah seorang sekretariat bagi Jawatankuasa Akreditasi SE, bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) bagi memastikan memenuhi piawaian tertinggi ekosistem SE.

Hakim lain dalam panel itu termasuk Esther Ng dan Ts Lim Hui Yan; Ketua Pegawai Kemampanan Kumpulan Gamuda Berhad, Ong Jee Lian; peguam terkenal, Syed Azmi Alhabshi dan perunding perlindungan kanak-kanak serta bekas penolong pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Vijayakumari Pillai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram