STAR Golden Hearts Award (SGHA) kini kembali untuk edisi ke-8 bagi memberi penghargaan kepada 10 pemenang yang aktif dalam aktiviti sosial dan telah berusaha keras menjadikan Malaysia ke arah lebih baik.
Anugerah anjuran bersama The Star dan Yayasan Gamuda ini diadakan bagi meraikan rakyat Malaysia yang menunjukkan komitmen luar biasa dalam aktiviti sosial sambil mempromosikan perpaduan dalam kalangan rakyat.
Daripada 770 pencalonan disenaraikan menerusi pemilihan orang awam, seramai 10 pemenang dipilih atas perubahan positif yang dibawa kepada masyarakat dan persekitaran dengan cara mereka tersendiri.
Tiga pemenang di bawah kategori individu menerima hadiah wang tunai berjumlah RM8,000 setiap seorang manakala tujuh lagi pemenang kategori organisasi, masing-masing mendapat hadiah wang tunai bernilai RM15,000.
Hadiah ini diberikan sebagai tanda sokongan agar mereka meneruskan usaha baik tersebut.
Pada awal kempen ini, hadiah wang tunai untuk kategori organisasi berjumlah RM10,000 bagi setiap pemenang.
Namun berdasarkan pencalonan yang luar biasa, Yayasan Gamuda meningkatkan jumlah hadiah bagi menambah kemampuan kewangan pemenang untuk menangani isu sosial yang kian menekan.
Persembahan pemenang SGHA 2022 di Menara Star.
Selepas dua tahun diadakan secara maya, pemenang tahun ini diraikan pada majlis yang turut dihadiri pemenang tahun sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group, Alex Yeow memuji para pemenang atas semangat altruisme dan pemikiran inovatif mereka dalam menyelesaikan cabaran masyarakat.
"The Star dan Yayasan Gamuda berkongsi cita-cita dan komitmen yang sama dalam membina negara dengan memperkasakan pencetus perubahan sosial yang seterusnya memberi impak bermakna kepada masyarakat dan alam", katanya.
Senarai pemenang tahun ini melibatkan kepelbagaian usia, latar belakang dan perjuangan sosial termasuk seorang remaja dan warga emas yang memperjuangkan masalah autisme, organisasi sosial yang menangani isu hak melalui penyediaan pendidikan berkualiti, akses penjagaan kesihatan, infrastruktur asas dan penjanaan pendapatan peluang serta melindungi hidupan liar dan alam sekitar.
Seterusnya, Gamuda Inspiration Award (GIA) dinobatkan kepada Iskul Sama Dilaut Omadal (Iskul), sebuah sekolah yang dikendalikan oleh komuniti di pantai Pulau Omadal, Sabah pada 2015.
Sekolah tersebut menyediakan peluang pendidikan kepada kanak-kanak yang dinafikan hak mereka untuk memperoleh pendidikan di sekolah-sekolah kerajaan.
Penubuhan organisasi tersebut bertujuan bagi mengubah kehidupan kanak-kanak tanpa izin dan tanpa kerakyatan bagi masyarakat orang asli Bajau Laut.
Ketua Yayasan Gamuda, Ts. Lim Hui Yan berkata, pencalonan tahun ini ditambah baik dengan kualiti dan skop yang lebih luas melangkaui kebimbangan sosial seperti kemiskinan, kitar semula dan pertanian bandar.
“Jumlah keseluruhan yang dianugerahkan untuk tahun ini ialah RM249,000, peningkatan 25 peratus daripada tahun lepas, dan kami berharap dengan peningkatan ini, kami akan dapat menyerlahkan keluasan dan kepelbagaian pergerakan perusahaan sosial yang memberikan impak sosial”, jelasnya.
"Pemenang GIA tahun ini amat layak mendapat pengiktirafan kerana memperjuangkan hak pendidikan kepada kanak-kanak tanpa kerakyatan.
"Visi mereka untuk membentuk pemimpin muda menerusi pendidikan holistik dengan merangkumi golongan tanpa kerakyatan adalah sejajar dengan pegangan Gamuda iaitu peluang pendidikan sama rata untuk semua," katanya.
Panel penilaian diketuai oleh Tan Sri Lee Lam Thye buat tahun kelapan berturut-turut dengan dibantu kumpulan pakar dan penasihat yang mempunyai pengetahuan luas dalam bidang masing-masing.
Lam Thye menyifatkan pemenang sebagai lambang perpaduan nasional dan sumber inspirasi kepada rakyat Malaysia yang lain untuk membuat perubahan dengan cara mereka sendiri.
“Adalah penting bagi inisiatif sebegini diteruskan sebagai penyumbang utama kepada kemajuan negara dan menggalakkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Saya amat berharap untuk melihat lebih ramai wira mendapat pengiktirafan yang sewajarnya melalui Star Golden Hearts Awards”, katanya.
Senarai pemenang SGHA 2022.
Berikut merupakan senarai penuh pemenang bagi Star Golden Hearts Award 2022:
1. Iskul Sama diLaut Omadal (Pemenang Gamuda Inspiration Award)
2. Serena Zara Taufiq
3. Mariani 'Bam' Ramli
4. Edwin Nathaniel
5. Native Discovery
6. TONIBUNG
7. Dignity For Children Foundation
8. SEAD Industries
9. Explore Gaia
10. DRsforALL
— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram