TULAR di media sosial mengenai seorang ibu yang berasa gusar selepas melihat bayinya seolah-olah sedang bermain dengan sesuatu makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Menerusi satu hantaran di laman X, Mia Azahar berkata, pembantu rumah memaklumkan perkara itu kepadanya dalam keadaan ketakutan.
"Tadi bibik beritahu aku waktu tengah basuh tandas ada nampak anak aku yang dalam playpen (kandang bayi) asyik gelak-gelak, main sorang-sorang macam ada yang mengusik dia.
BACA LAGI: Sekalikan korban dan akikah? Ada sebab lebih afdal daging sembelihan diasingkan
BACA LAGI: Ikhtiar cari orang hilang di hutan, ada baiknya jaga adab dan masa afdal solat hajat
Sesuatu makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar sememangnya wujud.
"Sampaikan bibik aku terus keluar tandas nak tengok anak aku," katanya.
Perkara itu menyebabkan Mia Azahar tergamam dan terus memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
"Dan ya, memang anak aku dalam CCTV tengah gelak-gelak dan macam main dengan seseorang. Siap melambai-lambai lagi," katanya.
Setelah terjadinya perkara itu, Mia memaklumkan kepada ibunya dan dipesan supaya sentiasa memasang ayat al-Quran di rumah.
Bercakap soal itu, Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, perkara di luar pemikiran sememangnya wujud.
"Perkara sebegitu kita tidak dapat pastikan samada malaikat ataupun jin," katanya kepada Majoriti.
Rumah perlulah sentiasa bergema dengan bacaan al-Quran.
Bagaimanapun, Mohamad Sabri berkata, ibu bapa perlulah memberi pemantauan yang serius kepada anak-anak.
"Perlu memperbanyakan amalan setiap hari supaya dapat menjadi pendinding diri kita," katanya.
Tambahnya, bacaan Al-Quran perlulah sentiasa 'hidup' di dalam rumah sebagai memohon perlindungan daripada ALLAH SWT.
"Dalam rumah itu jangan jadi sunyi macam kubur. Kalau ada bacaan ruqyah, dipasangkan dari telefon atau alat elektronik untuk elak gangguan syaitan dan sebagainya," katanya.
Mohamad Sabri turut memetik sabda Rasulullah:
لا تجعلُوا بُيُوتكُم مقابِر. إن الشيطان ينفِرُ مِن البيتِ الذِي تُقرأُ فيهِ سُورةُ البقرةِ
Maksudnya: "Jangan jadikan rumah kamu seperti kubur, Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya Surah al-Baqarah." [Hadis Riwayat Muslim]
Mohamad Sabri berkata, antara surah yang perlu diamalkan sebagai perlindungan diri adalah bacaan ayat kursi, surah al-Baqarah dan juga ayat surah tiga qul iaitu surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas.
"Elok lepas Subuh dan selepas Maghrib dibaca. Masa bayi tidur atau waktu malam pun bagus didendangkan. Apa-apa surah yang lain pun bagus juga untuk diamalkan," katanya.
Selain itu, Mohamad Sabri berkata, zikir dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW juga perlulah sentiasa kerap dilafazkan oleh seseorang.
"Daripada buat benda lagha lebih baik zikir supaya ada kekuatan rohani dan jasmani.
"Kalau pengamal perubatan Islam pun dia jadikan al-Fatihah dan selawat sebagai teras kepada rawatan dia, di samping doa-doa dan zikir yang lain. Jadi kita patut amalkan setiap hari sebanyak mungkin kerana ALLAH SWT," katanya.
Tidak hanya itu, Mohamad Sabri berkata, tandas di dalam rumah seeloknya dipastikan bertutup pintunya.
"Tandas di dalam rumah itu pejabat syaitan. Jangan lama-lama di dalam tandas," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram