Tolak kekasih Thailand jatuh kondo, tertuduh mungkin alami episod mania — Pakar psikologi


  • Massa
  • Sabtu, 08 Jun 2024

Sivahnanthan (kiri) diarah menjalani penilaian psikiatri kerana dipercayai mengalami keadaan mental tidak stabil.

KES bunuh semakin banyak dilaporkan akhir-akhir ini amat membimbangkan, apatah lagi rata-ratanya individu yang melibatkan orang yang terdekat.

Antara kes yang menggemparkan berlaku apabila seorang pemandu lori membunuh teman wanitanya warga Thailand dengan menolak wanita itu hingga jatuh dari tingkat 23 sebuah kondominium di Setia Alam, Selangor pada 28 Februari lalu.

Susulan daripada kes itu, tertuduh yang dikenali sebagai V. Nathan, diminta menjalani lanjutan penilaian psikiatri selama sebulan pada Jumaat selepas dia menunjukkan kesukaran mengikut arahan dan memberi kerjasama, dalam prosiding bagi pertuduhan membunuh yang dihadapinya.

BACA LAGI: Pemandu lori tolak kekasih dari tingkat 23 kondo di Setia Alam diarah jalani penilaian di Hospital Bahagia selama sebulan

BACA LAGI: Pemandu lori tolak kekasih dari tingkat 23 kondo di Setia Alam berdepan tali gantung

Lanjutan itu dibenarkan mengikut Seksyen 342(4) Kanun Tatacara Jenayah kerana doktor memerlukan lebih masa untuk menilai keadaan mental tertuduh.

Kes pembunuhan seperti ini sudah tentu membuatkan ramai yang tertanya-tanya apakah punca penyebab atau mendorong lelaki berkenaan bertindak kejam.

Kes berkenaan mendapat liputan meluas pelbagai pihak termasuk di media sosial.

Bagaimana seorang individu yang secara luarannya dilihat normal namun tiba-tiba boleh bertindak di luar jangkaan.

Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Saad tidak menolak kes tersebut berkemungkinan besar boleh berkait dengan masalah mental.

Katanya, beberapa gangguan mental yang boleh menyebabkan seseorang bertindak ganas termasuk gangguan personaliti antisosial.

"Ia bermaksud, individu dengan gangguan ini cenderung bersikap agresif, tidak menghiraukan perasaan orang lain, dan tidak mematuhi norma sosial.

"Pada masa sama, tertuduh mungkin mengalami episod mania yang menyebabkan kelakuan impulsif dan agresif.

"Namun, dalam kes tersebut tertuduh seperti yang telah ditetapkan oleh mahkamah atau pakar harus menjalani beberapa rawatan untuk memastikan tertuduh mengalami gangguan mental," katanya kepada Majoriti.

2658432

Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Saad

Menurut beliau lagi, antara gangguan mental yang lain ialah skizofrenia dan gangguan kemurungan yang teruk.

"Dalam beberapa kes, individu yang menghidap skizofrenia mengalami halusinasi atau delusi mungkin bertindak secara ganas.

"Selain itu, walaupun jarang berlaku, kemurungan yang teruk juga boleh membawa kepada kelakuan yang merosakkan diri sendiri atau orang lain," jelas Fauziah.

Pada masa sama, Fauziah turut menekankan pentingnya mengenali tanda-tanda awal masalah mental bagi membolehkan tindakan segera diambil.

"Terdapat beberapa ciri utama yang mungkin menunjukkan seseorang mengalami masalah mental, yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat.

"Antaranya ialah perubahan tingkah laku yang drastik. Ini termasuk keagresifan yang mendadak, ketidakstabilan emosi, atau keengganan untuk bergaul dengan orang lain.

"Perubahan ini boleh berlaku secara tiba-tiba dan berbeza daripada kebiasaan individu tersebut. Keresahan dan ketakutan berlebihan juga merupakan petanda penting.

"Seseorang yang mengalami masalah mental mungkin sering kali merasa cemas atau takut tanpa sebab yang jelas," jelas beliau.

2651693

V. Nathan membunuh teman wanitanya warga Thailand dengan menolak wanita itu hingga jatuh dari tingkat 23 sebuah kondominium di Setia Alam, Selangor pada 28 Februari lalu.

Tambah beliau lagi, kesukaran dalam mengekalkan hubungan juga menjadi tanda masalah mental.

"Masalah dalam berkomunikasi atau menjaga hubungan dengan orang lain boleh menunjukkan bahawa seseorang sedang menghadapi kesukaran emosi atau mental.

"Sehubungan itu, mengenali tanda-tanda awal ini adalah langkah penting dalam mendapatkan bantuan dan sokongan yang diperlukan.

"Sekiranya seseorang menunjukkan beberapa ciri ini, adalah penting untuk mencari bantuan profesional bagi memastikan mereka mendapat rawatan yang sewajarnya.

"Kesedaran dan tindakan awal boleh memainkan peranan besar dalam menangani masalah kesihatan mental dan memperbaiki kualiti hidup individu yang terjejas," tegas beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram