HASRAT seorang pemuda untuk meraikan hari bahagia kakak kandungnya pada Jumaat tidak kesampaian setelah dia maut dalam kemalangan dengan sebuah bas henti-henti di Jalan Satu Krubong, Melaka pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa yang bekerja sebagai tukang cuci kereta di Tangga Batu dalam perjalanan dari arah Krubong Perdana menghala ke Tangga Batu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi, mangsa Muhammad Aizad Khairil Anwar, 20, yang menunggang motosikal Honda RS-X meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
BACA LAGI: [VIDEO] Penunggang maut rempuh belakang bas tiba-tiba berhenti di Melaka
BACA LAGI: [VIDEO] Budak pasang impian beraksi bersama Brazil maut ditembak depan ayah pada hari lahir ke-9
SEORANG lelaki penunggang motosikal berkuasa maut dalam satu kemalangan tragis apabila motosikal yang ditungganginya merempuh belakang sebuah bas yang tiba-tiba berhenti di tengah jalan dekat Krubong Perdana, Melaka pada Khamis. pic.twitter.com/TV8mLV2Lf4
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) June 6, 2024
Menurutnya, dalam masa sama, sebuah bas henti-henti yang dipandu lelaki berusia 33 tahun dari arah Taman Inang Sari menghala ke Melaka Sentral sedang bergerak perlahan di lorong kiri untuk berhenti.
Katanya, setiba di lokasi kemalangan pemandu bas yang beralamat di Taman Bertam Perdana terdengar bunyi dentuman dari arah belakang.
"Apabila pemandu berhenti dan keluar dari bas dia mendapati motosikal mangsa telah melanggar belakang bas terbabit dan menyebabkan mangsa terbaring di atas jalan.
"Akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan, manakala pemandu bas tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Jelasnya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat sebelum dituntut waris keluarga.
Ujarnya siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 dan polis memohon bantuan saksi awam tampil membantu siasatan kes kemalangan membabitkan dua kenderaan itu.
Beberapa jam selepas insiden itu tular satu klip video di media sosial, mengenai kemalangan terbabit selain memaparkan orang awam memarahi tindakan pemandu bas itu yang berhenti di bahu jalan.
Malah di ruang komen beberapa pengguna yang mengenali mangsa memberitahu sepatutnya pemuda itu akan meraikan majlis perkahwinan kakaknya yang berlangsung pada Jumaat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
