Keluarga Zayn Rayyan lantik peguam baharu


Zayn Rayyan disahkan mati dibunuh pada 5 Disember tahun lalu.

PEGUAM baharu telah dilantik bagi mewakili ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin, kanak-kanak autisme yang mati dibunuh pada tahun lalu.

Pelantikan itu disahkan sendiri oleh peguam terbabit, Fahmi Moin untuk mewakili ibu bapa Zayn, yang kini direman polis.

"Saya dilantik secara rasmi pada semalam (Isnin) dan akan mewakili klien pada akhir tempoh reman Jumaat ini," katanya ketika dihubungi The Star pada Selasa.

BACA LAGI: Sambung reman ibu bapa Zayn Rayyan bergantung kepada hasil siasatan — Ketua Polis Selangor

BACA LAGI: Ada beri sebab, peguam Mahmud Jumaat tak lagi wakili ibu bapa Zayn Rayyan bermula Selasa

Terdahulu, peguam yang mewakili ibu bapa Zayn menarik diri dari kes itu atas sebab yang tidak diketahui.

Pelantikan itu dibuat selepas pasangan suami isteri itu direman selama tujuh hari bermula Sabtu (1 Jun) bagi membantu siasatan polis di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Ibu bapa Zayn Rayyan ditahan di Puncak Alam kira-kira pukul 11 pagi pada Jumaat lalu.

Pada 5 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan dilaporkan hilang di Damansara Damai dan mayatnya ditemukan dekat sungai kira-kira 200 meter dari rumahnya di Pangsapuri Idaman.

Laporan bedah siasat mendapati mangsa mempunyai kesan luka di leher dan badan, sekali gus menyimpulkan bahawa kanak-kanak berusia enam tahun itu mati dibunuh.

Terdahulu pada Selasa, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan ke atas pasangan suami isteri berusia 29 tahun itu masih diteruskan.

Jelasnya, lanjutan tempoh tahanan reman ke atas ibu bapa kanak-kanak autisme itu bergantung kepada keputusan siasatan yang sedang dilaksanakan polis.

"Perlanjutan tempoh reman ibu bapa Zayn Rayyan adalah bergantung kepada keputusan soal siasat yang sedang dikendalikan polis ke atas pasangan suami isteri itu dalam tempoh reman pertama yang akan tamat pada 7 Jun ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram