[VIDEO] Pihak berkuasa Indonesia perjelas video tular lelaki kurang waras solat di halaman gereja


  • Tular
  • Isnin, 29 Mei 2023

Tangkap layar video memaparkan seorang lelaki sedang menunaikan solat di pekarangan gereja di Medan, Indonesia.

TULAR satu video di media sosial memaparkan seorang lelaki berpakaian jubah dan berkopiah putih sedang menunaikan solat di pekarangan Gereja Pardamean, Jalan Tadu, Medan, Indonesia.

Berdasarkan video yang dimuat naik pada Ahad, aksi lelaki itu telah menarik perhatian jemaah gereja yang hadir di situ.

Menurut paderi Pardamean HKBP Church Resort, Tampak Hutagaol, situasi itu berlaku pada Khamis sekitar pukul 4 petang.

"Dia ialah penduduk Medan Perjuangan. Tempoh hari dia solat di halaman gereja. Ya, saat itu jemaah berkunjung ke gereja," katanya pada Ahad.

Bagaimanapun, Tampak berkata, kejadian tersebut bukan kali pertama berlaku dan sebelum ini, lelaki itu juga telah beberapa kali berkomunikasi dengan pihak gereja," katanya.

Dia turut mendedahkan, lelaki berkenaan kurang waras dan sering meminta wang dan makanan daripada penduduk sekitar.

"Kami sudah jelaskan, maaf cakap, lelaki itu tidak siuman. Dia sering datang ke sini. Kadang-kadang dia minum kopi, minta duit dan macam-macam lagi. Penduduk Islam di sekelilingnya sudah tahu dan mereka boleh memahaminya," katanya lagi.

Ujarnya, pihak polis sudah pun datang ke gereja untuk memeriksa kejadian berkenaan.

"Saya telah bercakap dengannya selepas solat di halaman gereja.

"Semalam polis datang ke sini untuk bertanyakan perkara ini. Sebab video tersebut pun dah tersebar kan? Akhirnya mereka terus ke kediaman lelaki itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Percut Sei Tuan Iptu Japri Simamora berkata, pihaknya telah menerima laporan itu dan pergi sendiri ke lokasi.

"Apabila sampai di lokasi, kami dapati lelaki itu sudah beberapa kali ke gereja dan (dia) memang ada gangguan mental.

"Sebab itu kami masih menggesa penduduk supaya tidak terpengaruh dengan kejadian yang berlaku. Keadaan selamat dan terkawal," jelasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram